Harian Metro

Stanozolol paling popular

- Fadhli Ishak fadhli.ishak@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Stanozolol antara steroid anabolik perangsang prestasi paling popular penggunaan­nya, baik dalam sukan profesiona­l mahupun secara rekreasi.

Atlet angkat berat negara baru-baru ini didapati positif bahan terlarang itu dalam saringan anti-doping sebelum temasya Sukan Komanwel di Gold Coast dan kini menunggu keputusan ujian sampel B.

Jika sampel B juga didapati positif, atlet itu berdepan hukuman penggantun­gan yang panjang, seperti yang pernah dikenakan ke atas atlet terdahulu.

Senarai penggantun­gan Persekutua­n Angkat Berat Antarabang­sa (IWF) memaparkan nama 140 atlet dari seluruh dunia yang didapati positif stanozolol sejak 2008, menjadikan­nya antara dadah paling popular dalam kalangan atlet.

Dadah itu bukan sesuatu yang baru, malah pelari pecut Kanada, Ben Johnson, yang didapati positif selepas memenangi emas 100m di Sukan Olimpik Seoul 1988, turut dididapati positif bahan sama ketika temasya itu.

Seorang individu yang mempunyai pengetahua­n mendalam mengenai sukan itu mendakwa, penggunaan Stanozolol bukan sesuatu yang asing di negara ini.

“Stanozolol pernah digunakan oleh atlet angkat berat sebagai perangsang prestasi tapi sebenarnya ia lebih popular dalam kalangan atlet bina badan,” kata sumber berkenaan.

“Ia membantu perkembang­an otot atlet bina badan tapi atlet angkat berat juga mendapat manfaat dari segi tenaga (kekuatan). Bagaimanap­un saya percaya kelebihan itu tidak besar mana untuk atlet angkat berat.

“Ia mungkin lebih kepada aspek psikologi apabila atlet angkat berat percaya mereka mendapat kelebihan kerana mengambil bahan itu.

“Ia juga mudah didapati dan tidak begitu mahal. Ia dijual di bawah beberapa jenama seperti Winstrol, tapi ada lagi beberapa jenama lain.

“Bahan utama dalam jenama ini biasanya sama (stanozolol) tapi ia mungkin juga dicampur dengan beberapa bahan lain.”

Menurut sumber itu lagi, pengambila­n stanozolol tanpa pemantauan rapi sudah pasti akan menyebabka­n kegagalan ujian air kencing.

“Stanozolol boleh diambil dengan cara memakan pil atau suntikan. Sebelum ini, kesannya dalam air kencing seseorang boleh hilang dalam masa dua minggu.

“Tapi ia bertahan lebih lama hingga enam bulan sekiranya diambil melalui suntikan. Sesiapa mengambiln­ya tanpa pemantauan pasti akan gagal ujian doping.

“Sebenarnya tidak banyak beza untuk lulus atau gagal ujian ini, tanpa pengetahua­n yang mencukupi pasti sukar untuk seseorang yang mengambiln­ya berada di zon selamat.

“Ada beberapa pihak mengkaji dengan mendalam bagaimana untuk mengatasi sistem ini, tapi ia tidak dilakukan di Malaysia,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia