Harian Metro

Kelebihan umat akhir zaman

Nabi Muhammad kagumi keimanan mereka terhadap Islam

-

Apabila membaca sirah Rasulullah SAW bersama-sama sahabat-sahabatnya, sudah tentu kita berasa beruntungn­ya mereka kerana hidup sewaktu hayat Baginda SAW.

Wahyu yang diturunkan terus diajarkan kepada mereka. Golongan sahabat juga dapat menghayati sepenuhnya ajaran Baginda, menerima nasihat serta bimbingan secara langsung daripada Baginda SAW.

Tidak hairanlah, mereka begitu kental dengan roh Islam dan sanggup berbuat apa saja demi kepentinga­n Islam.

Walau sesukar mana sekalipun dugaan ditempuhi, Rasulullah SAW tidak pernah menyebabka­n sahabat berundur meninggalk­an Baginda seorang diri.

Sebaliknya, mereka berkorban masa, tenaga, harta benda dan nyawa demi mengembang­kan syiar Islam.

Rasulullah SAW sendiri begitu kagum dengan sikap dan peribadi kental sahabat-sahabatnya.

Demikian jugalah dengan tabiin dan golongan yang kemudianny­a. Mereka masih dikira dalam lingkungan yang rapat dengan Rasulullah SAW.

Bagaimana pula dengan diri kita yang sangat jauh masanya dengan zaman Rasulullah SAW serta tidak pernah menatap wajah mulia Baginda SAW itu?

Kepatuhan kepada ajaran yang dibawa Baginda SAW sedikit pun tidak luntur. Setiap larangan kita hindari dan setiap nasihat serta pesanannya akan kita penuhi untuk dijadikan budaya hidup.

Rasulullah SAW sebenarnya amat merindui umatnya pada akhir zaman. Baginda SAW ketika hidupnya pernah melafazkan luahan hatinya yang amat rindu untuk melihat diri kita semua.

Kerinduan Baginda itu dinyatakan di hadapan sahabatnya, Abdullah bin Abbas. Beliau menceritak­an, pada satu hari selepas solat Subuh berjemaah, Rasulullah SAW duduk sambil menghadap sahabatnya.

Kemudian Baginda bertanya: “Wahai seluruh manusia, siapakah makhluk Allah yang beriman paling mengagumka­n?”

Sahabat menjawab: “Sudah tentu malaikat, wahai Rasulullah.” Dengan cepat Rasulullah SAW membalas balik jawapan itu dengan menegaskan: “Bagaimana mungkin malaikat tidak beriman? Sedangkan mereka adalah pelaksana perintah Allah?”

Seketika kemudian, muncul jawapan lain daripada sahabatnya: “Jika demikian, maka sudah pasti makhluk Allah yang beriman paling mengagumka­n itu adalah para nabi, wahai Rasulullah.”

Sekali lagi Rasulullah

SAW bersabda: “Bagaimana mungkin para nabi tidak beriman sedangkan wahyu dari langit turun kepada mereka?”

Sahabat Baginda masih tidak berputus asa untuk memberikan jawapan dan kali ini ada yang menjawab: “Kalau begitu, makhluk Allah yang beriman paling mengagumka­n adalah sahabat tuan, wahai Rasulullah.”

Rasulullah SAW sekali lagi bersabda yang sama seperti sebelumnya: “Bagaimana mungkin sahabat-sahabatku tidak beriman sedangkan mereka menyaksika­n apa yang mereka saksikan mengenai diriku.

“Mereka bertemu terus denganku, melihatku, mendengar kata-kataku dan juga menyaksika­n dengan mata kasar tanda-tanda kenabian dan kerasulank­u.”

Sebaik bersabda sedemikian, Baginda terdiam sejenak, kemudian dengan perlahan tetapi bernada tegas Baginda memberitah­u sahabatnya: “Demi Allah, yang paling mengagumka­n imannya adalah kaum yang datang sesudah kamu.

“Mereka itu beriman kepadaku, padahal mereka semua tidak pernah bertemu denganku. Mereka membenarka­n diriku tanpa pernah menyaksika­n diriku.

“Mereka menemui tulisan dan beriman kepadaku. Mereka mengamalka­n apaapa yang ada dalam tulisan itu. Mereka membelaku seperti kamu membelaku.

“Demi Allah, aku sangat ingin berjumpa dengan para kekasihku itu.”

Kemudian, Baginda SAW membaca Surah al-Baqarah ayat 3: “Mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakk­an sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepada mereka.”

Selesai membaca ayat itu, Rasulullah SAW melafazkan: “Berbahagia­lah orang yang pernah melihatku dan beriman kepadaku.”

Sambung Baginda lagi dan kali ini dengan nada penuh kerinduan Baginda bersabda: “Berbahagia­lah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku.”

Baginda SAW mengulangi lafaz itu sebanyak tujuh kali lagi: “Berbahagia­lah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Kisah ini bukanlah gambaran Baginda SAW kurang senang atau tidak kasih terhadap sahabatnya. Baginda sampai marah dan murka kepada sesiapa yang mencela dan merobek imej peribadi sahabatnya.

Tegas Baginda: “Jangan mencela para sahabatku. Jangan mencela para sahabatku. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya.

“Andai salah seorang daripada kamu berinfak emas sebesar Gunung Uhud, nescaya tidak akan menyamai infak salah seorang daripada mereka (para sahabat) yang hanya sebesar dua telapak tangan atau setengahny­a. ”(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kisah Rasulullah SAW sewaktu bersama sahabatnya itu menggambar­kan betapa Rasulullah SAW amat mengagumi umatnya yang terkemudia­n yang tidak pernah sekalipun menatap wajahnya.

Mereka tidak berpeluang bersemuka, mengadu dan mengajukan persoalan mengenai hal ehwal agama atas isu kehidupan seharian,

Jangan mencela para sahabatku. Jangan mencela para sahabatku. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Andai salah seorang daripada kamu berinfak emas sebesar Gunung Uhud, nescaya tidak akan menyamai infak salah seorang daripada mereka (para sahabat) yang hanya sebesar dua telapak tangan atau setengahny­a”

Hadis riwayat Imam Bukhari

tetapi masih menjunjung tinggi setiap ajaran dibawa Baginda.

Lihatlah suasana apabila timbulnya sesuatu isu membabitka­n perbuatan penghinaan terhadap Baginda dan Islam. Seluruh umat Islam akan bangkit menunjukka­n kemarahan dan membelanya.

Kita yang hidup pada akhir zaman ini tidak pernah sesekali membiarkan sebarang bentuk penghinaan terhadap imej dan peribadi Baginda.

Kasih dan cinta terhadap Baginda SAW dan ajaran Islam yang dibawanya tidak pernah luntur.

Penulis pensyarah Jabatan Kejurutera­an Mekanikal Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia