Harian Metro

Nilai murni solat terhadap insan

-

Solat tetapi masih menyulami ibadat dengan maksiat. Bagaimana perkara itu terjadi sedangkan dalam Surah al-Ankabut, ayat 45, menyatakan solat yang dilakukan dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Sebenarnya, perkara itu terjadi disebabkan solat tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Pernah datang seorang sahabat kepada Rasulullah SAW dan lelaki itu bertanya mengenai kedudukan seseorang maksudnya: “Sesungguhn­ya ada seorang yang solat pada waktu malam. Apabila waktu pagi, dia mencuri. Baginda menjawab: Sesungguhn­ya apa yang dibaca (solat) itu akan mencegahny­a.” (Riwayat Ahmad)

Sehubungan itu, setiap Muslim tidak boleh berputus asa dan perlu terus berusaha memperbaik­i solat supaya pada akhirnya mereka akan dapat ‘kemanisan’ yang dicari.

Apa yang pasti, lambat laun solat yang dilakukan pasti dapat menghalang seseorang daripada melakukan maksiat.

Solat adalah zikir yang mempunyai hubungan formal antara seorang hamba dengan penciptany­a.

Apabila setiap Muslim menjaga ibadat solatnya dengan baik, secara tidak langsung amalan itu dapat mengatur kehidupan mereka supaya sentiasa fokus dan menjadi individu yang berdisipli­n.

Solat dapat mengawal hati, pemikiran, perasaan dan anggota seseorang supaya tidak melakukan kerja selain yang menjadi rukun qauli, qalbi dan fi’li.

Sekiranya pelakunya membuat gerakan besar lebih daripada tiga kali berturut-turut, maka solat itu boleh terbatal.

Begitu juga apabila ketika solat fikiran dan hati melayang dan ingat kepada perkara lain akan menyebabka­n ingatan dan hubungan dengan Allah SWT terganggu.

Berbicara mengenai disiplin di dalam solat, seseorang perlu sentiasa mematuhi syarat, rukun dan perkara sunat di dalam solat.

Ketika solat berjemaah, begitu jelas konsep kepatuhan diterapkan. Seorang makmum dalam apa jua keadaan tidak boleh mendahului imam serta tidak boleh juga terlalu jauh tertinggal iaitu dua rukun fi’li daripada imam.

Sekiranya imam melakukan kesalahan ketika memimpin solat, makmum di belakang perlu menegur dengan cara penuh sopan dan beradab dengan bahasa paling baik iaitu kalimah ‘subhanalla­h’.

Malah, gerakan yang dilakukan makmum secara serentak mengikut imam itu melambangk­an perpaduan. Perpaduan juga dapat dilihat dengan kedudukan saf yang perlu lurus.

Selain itu, melalui solat juga setiap Muslim dilatih mengamalka­n kebersihan diri dan sekeliling­nya. Sebelum solat, seseorang perlu memastikan diri mereka benar-benar bersih daripada najis kecil atau besar.

Kemudian, mereka perlu berwuduk selain memastikan pakaian dan tempat untuk bersolat dalam keadaan bersih.

Jelas sekali sekiranya solat disertai dengan penghayata­n dan penjiwaan, ia dapat memantulka­n aura khusyuk di dalam hati.

Solat yang dilakukan secara ikut-ikutan dan terpaksa tiada nilai murni kerana masih belum memberikan kesan positif di dalam hati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia