Harian Metro

Tujuh dihadap ke mahkamah khas bawa masuk 61 PATI

-

Pontian: Tujuh individu termasuk warga Singapura berusia 65 tahun dihadapkan ke Mahkamah Khas pendatang asing tanpa izin (PATI) Pekan Nanas di sini, semalam atas kesalahan membenar masuk 61 PATI ke premis masing-masing.

Semua pemilik premis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membawa masuk PATI Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Myanmar, November tahun lalu hingga Mac lalu.

Hukuman itu memperuntu­kkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Hakim Zahilah Mohammad Yusof menjatuhka­n denda terhadap lima daripada tertuduh selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan terbabit.

Soh Chai Seng, 65, warga Singapura didakwa membawa masuk warga Bangladesh di sebuah kilang, 8 Februari lalu dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaska­n denda.

Tertuduh kedua, Salinder Singh, 43, didenda RM25,000 atau 10 bulan penjara selepas mengaku membawa masuk lima imigran haram Nepal ke sebuah rumah sewa di Permas Jaya, 24 Disember 2017.

Tertuduh ketiga, Zainol Ahmad, 41, didenda RM5,000 atau dua bulan penjara kerana membenarka­n masuk seorang imigran haram Indonesia ke kedai makan di Stulang Laut, 7 Mac lalu.

Tertuduh keempat, Noor Masita Maarof, 29, didenda RM5,000 atau dua bulan penjara selepas mengaku membawa masuk seorang imigran Indonesia ke premis menjual ayam di Pasar Larkin, 29 Disember 2017.

Selain itu, tertuduh kelima dan keenam, Lee Woi Cin dan Chong Chui Yean, 26, masing-masing didenda RM15,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah membawa masuk tiga imigran Indonesia ke sebuah rumah di Taman Kota Yong Peng.

Tertuduh ketujuh, Liu Wei Song, 27, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa masuk 59 imigran Indonesia, Myanmar dan Bangladesh ke rumah kongsi di Taman Kempas Utama, 24 November 2017.

Mahkamah kemudian membenarka­n Liu diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan 21 Mei depan.

Pendakwaan dikendalik­an Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Mohmad Hanapiah Rosdi dan Norhasimah Othman, manakala hanya Wei Song diwakili peguam Tng Poh Ying.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia