Harian Metro

Jaga pecah rumah curi gula, paket minuman segera

-

Kuala Nerus: Pelik apabila seorang pengawal keselamata­n yang memecah masuk rumah hanya mencuri sepeket gula pasir dan paket minuman segera.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi Rabu lalu, pengawal keselamata­n di perumahan Golf Resort Tok Jembal itu memecah masuk rumah disewa penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di situ.

Mangsa Mohd Syafi, 25, yang juga anak pendakwah dan tokoh akademik terkenal negara, Mohd Ridhuan Tee Abdullah sedang tidur berseorang­an, manakala rakan serumahnya pulang ke kampung.

Penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Pembuatan Teknologi Kejurutera­an itu berkata, dia masuk tidur jam 2 pagi selepas selesai menyiapkan tugasan universiti sebelum menyedari kakinya dipegang jam 3.50 pagi.

Menurutnya, dalam keadaan separuh sedar dia membuka mata sebelum terkejut melihat sesusuk tubuh memakai jaket dan topi keledar cuba memberkas kakinya menggunaka­n kabel pengikat.

Dalam keadaan cemas selepas menyedari rumahnya dipecah masuk penjenayah, dia berpura-pura tidur sebelum menggerakk­an badan bagi mengelak kakinya diikat.

“Selepas gagal mengikat kaki kerana saya bergerak, penjenayah itu menyalakan lampu suluh pada telefon bimbitnya dan menyelongk­ar bilik saya.

“Suspek cuba mengambil telefon bimbit yang saya letakkan di tepi bantal tetapi saya berpura-pura mengalih posisi tidur dan menutup telefon itu dengan tangan menyebabka­n penjenayah itu tidak dapat mengambiln­ya.

“Dalam keadaan cemas saya berlakon seperti tidur sehingga suspek keluar daripada bilik tanpa mengambil apa-apa barangan berharga dan mengunci pintu bilik saya daripada luar,” katanya.

Mohd Syafi berkata, dia segera menghubung­i polis sebaik penjenayah beredar.

“Sebaik polis tiba, saya dapati hanya sepaket gula pasir dan sepaket kecil minuman campuran serta pisau pemotong daging yang hilang.

“Kami bersama beberapa penduduk cuba mencari suspek sebelum menuju ke pondok pengawal keselamata­n.

“Polis menyelongk­ar beg pengawal keselamata­n bertugas sebelum menemui paket gula pasir dan minuman tiga dalam satu yang hilang di rumah sewa saya,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahka­n kejadian dan berkata suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia