Harian Metro

‘Rakyat Sabah perlu pilih kapal besar, moden’

-

Beaufort: ‘Kapal layar’ tidak mampu membawa rakyat Sabah membelah samudera luas kerana ia bersaiz kecil serta tidak stabil.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat Sabah perlu memilih kapal lebih besar dan moden yang mampu merentasi lautan luas dan bergelora supaya tidak hanyut atau terumbang ambing sepanjang pelayaran.

Beliau memberi kiasan itu dalam ucapannya di hadapan lebih 10,000 rakyat pada Majlis Bersama Rakyat Beaufort semalam, iaitu kapal layar merujuk kepada logo Parti Warisan Sabah (WARISAN), manakala kapal besar dan moden dirujuk sebagai Barisan Nasional (BN).

“Kita nak belayar lautan samudera, kita perlukan kapal moden dan lebih besar. Kapal layar ini kecil, main tepi pantai (saja), kita (BN) kapal besar, parti besar (yang kuat) dari Perlis sampai ke Sabah,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, calon BN Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih dan calon BN DUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, rakyat Sabah juga perlu menolak ‘lambang mata’ iaitu merujuk kepada pakatan pembangkan­g diketuai DAP yang menggunaka­n logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Hati saya adalah untuk terus membangunk­an Sabah, (ini kerana) pemimpin dulu tak buat Lebuhraya Pan Borneo, timbul (dicadangka­n) zaman dia (jadi Perdana Menteri) tapi tak diluluskan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia