Harian Metro

SAWDA SUKA KELAJUAN

- Firdaus Hashim firdaushas­him@nstp.com.my

 Ceburi sukan berbasikal kerana gemarkan cabaran selain mahu wakili Malaysia ke Olimpik

Jarang sekali untuk kita melihat pelumba basikal wanita bertudung ketika beraksi dalam mana-mana perlumbaan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabang­sa.

Bagi jaguh cilik minggu ini, Sawda Hasbullah, imej bertudung yang dibawanya dalam setiap perlumbaan langsung tidak mengganggu rentak kayuhan, sebaliknya dia sering berjaya memenangi pertanding­an disertai terutama saingan Junior Cycling Malaysia (JCM).

Mari ikuti temubual bersama remaja berusia 11 tahun itu yang turut mengimpika­n dapat berlumba di Sukan Olimpik satu hari nanti.

Soalan (S): Sejak bila mula berkecimpu­ng dalam sukan berbasikal dan siapa individu yang memperkena­lkan anda dengan sukan ini?

Jawapan (J): Sejak 2016. Abang dan bapa saya sering mengikuti pertanding­an JCM dan juga jamboree di seluruh Malaysia. Saya sangat tertarik dengan sukan ini dan bapa saya galakkan untuk mencuba. Kali pertama saya sertai pertanding­an adalah JCM di Kedah pada 2016.

S: Kenapa anda memilih sukan ini berbanding sukan lain?

J: Tidak ramai kanak-kanak perempuan sebaya saya menyertain­ya. Jadi saya rasa ia sangat mencabar. Lagipun, saya suka dengan kelajuan.

S: Anda juga masih bersekolah, bagaimana anda membahagik­an masa antara pelajaran dan latihan?

J: Saya selalu berlatih pada waktu petang bersama ayah saya. Pada waktu pagi, saya uruskan semua urusan pembelajar­an saya. Ada hari yang saya perlu ke kelas Hafazan, jadi saya berlatih awal untuk mempersiap­kan diri sebelum kelas bermula.

S: Apa impian anda dalam sukan ini?

J: Sudah pasti ingin menang selalu. Saya juga harap lebih ramai kanak-kanak perempuan seperti saya menyertai sukan ini. Lebih ramai kawan untuk saya kenali dan berlatih bersama.

S: Apa sasaran anda dalam sukan ini?

J: Saya ingin mewakili Malaysia ke Olimpik pada masa hadapan.

S: Siapa idola anda dalam sukan ini dan mengapa memilihnya?

J: Abang saya, Umar Hasbullah. Dia mula berbasikal semasa usianya 12 tahun. Tidak pernah jemu berlatih dan terus berlatih. Dia belum lagi menang podium untuk acara Lumba Jalan Raya tapi semangat dia kuat dan selalu beri sokongan kepada saya. Dia juga pandai mengenai basikal dan bagaimana hendak setting basikal untuk ‘tiptop’. Basikalnya dia setting sendiri. Saya mahu jadi serba boleh seperti abang saya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia