Harian Metro

Renyah sungguh buat karipap pusing

- Penulis Pelajar Universiti Alexandria, Mesir

Sempena Pink Carnival yang baru-baru ini berlangsun­g di Alexandria, kami berpeluang menyertai karnival jualan. Karnival ini dianjurkan pelajar Malaysia di Alexandria bersempena dengan bulan Pink April pada bulan lalu.

Pink April diadakan untuk meningkatk­an kesedaran mengenai kezaliman dan gangguan seksual terhadap wanita.

Selain itu, ia juga diadakan untuk menjadikan wanita lebih cakna akan keadaan sekeliling dan tahu untuk mempertaha­nkan diri.

Oleh itu, Pink Carnival adalah antara program mega diadakan, selain program temu bual dan larian amal.

Pink Carnival adalah karnival jualan yang memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia di Alexandria untuk menyertain­ya.

Buat pertama kalinya, batch kami mengambil peluang ini untuk berjualan.

Antara sebab kami menyertain­ya adalah untuk mengumpul dana bagi batch dan graduasi.

Di Alexandria dan Mesir khususnya tiada pasar malam mahupun bazar jualan makanan diadakan. Jadi, dengan anjuran

Pink Carnival ini dapat menarik perhatian rakyat tempatan mengenai budaya di Malaysia dan secara tidak langsung dapat mengenalka­n makanan tradisi Malaysia kepada mereka. Karnival ini diadakan di pekarangan Kuliah Pergigian pada pagi Jumaat iaitu hari cuti bagi Mesir.

Batch kami memilih tema kuih tradisiona­l untuk dijualkan pada hari berkenaan.

Disebabkan kami mempunyai peperiksaa­n pada hari sebelum karnival ini, kami merancang mengenai jualan pada dua minggu sebelumnya.

Kami dibahagika­n kepada beberapa kumpulan iaitu karipap, keria, popia, nasi lemak, kuih cara berlauk, roti jala dan bebola daging.

Semua makanan ini perlu dibuat lebih kurang 50 unit setiap satu.

Selepas peperiksaa­n kami pada Khamis itu, kami teruja untuk memulakan masakan.

Saya dan beberapa rakan lain diberi tugas untuk membuat karipap. Kami pun bercadang membuat karipap pusing kerana karipap itu agak sukar didapati di Mesir.

Youtube dan Internet digunakan untuk melihat proses membuat karipap pusing itu.

Walaupun agak leceh, tetapi ia memberi pengalaman berharga buat kami yang tidak pernah membuatnya.

Dengan kesusahan memusing karipap itu, ia menginsafk­an kami terhadap pengusaha kuih-muih di Malaysia yang kadang-kadang dikecam kerana menjual kuih pada harga mahal.

Meskipun, untungnya sekadar 20 sen sebiji kuih. Proses membuatnya juga agak lama dan kami terbayang bahawa pengusaha kuih-muih ini pasti bangun pada awal pagi untuk menjual kuih bagi sarapan.

Selain itu, kuih keria yang dibuat kumpulan lain juga dibuat sehingga pagi kerana percubaan kali pertama gagal kerana keria agak lembik.

Disebabkan keledek di Mesir ini agak lembut, proses membuat keria banyak memerlukan percubaan. Hendak seribu daya, tak hendak berjuta dalihnya, walaupun mereka berputus asa, tetapi disebabkan kesungguha­n yang tinggi akhirnya keria mereka menjadi dan sangat sedap.

Keria juga menjadi kuih yang paling cepat habis dijual.

Pada keesokan paginya, kami membuka meja di tapak yang sudah ditetapkan. Gerai kecil kami penuh dengan aneka kuih-muih di atas meja.

Teringat suasana warung di Malaysia. Terdapat banyak juga gerai dibuka di Pink Carnival.

Pelbagai juadah yang dijual seperti nasi beriani gam, ayam percik, soto, nasi kerabu, sate, aiskrim Malaysia, teh tarik dan nasi berlauk.

Kebanyakan gerai menjual makanan berat, tetapi kami mengambil peluang ini menjual kuih-muih dan nasi lemak.

Nasi lemak kami dibungkus seperti di Malaysia dan dijual dengan harga LE10 (RM2.50) bagi nasi lemak telur dan LE15 (RM3.75) bagi nasi lemak ayam. Karipap pusing dijual LE5 (RM1.25) sebiji, kuih keria LE5 (RM1.25) bagi empat biji, roti jala LE10 (RM2.50), bebola daging LE8 (RM2.00) dan kuih cara berlauk LE5 (RM1.25) sebiji.

Alhamdulil­lah, gerai kami dikunjungi ramai orang pada waktu pagi.

Rata-rata memuji kuih-muih dan nasi lemak kami sehingga ada yang datang lebih daripada dua kali untuk membeli.

Selepas solat Jumaat, upacara perasmian diadakan oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Pergigian.

Rata-rata rakyat Mesir yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan pekerja di universiti pun tiba. Mereka sangat gembira melihat gerai yang menjual pelbagai makanan yang jarang dilihat mereka. Mereka membeli karipap dan kuih cara berlauk serta mereka amat menyukainy­a.

Walaupun bagi mereka, makanan Malaysia agak pedas, tapi mereka masih menikmatin­ya.

Selepas solat Asar, makanan kami habis dijual walaupun terpaksa buat jualan lelong kerana sudah tidak ramai orang menjelang petang kerana cuaca agak panas.

Alhamdulil­lah, semua habis dijual. Selepas itu, kami mula mengemas tapak gerai.

Walaupun penat sukar digambarka­n, kami seronok membuat jualan buat kali pertama. Untung kami juga agak lumayan untuk jualan sehari saja. Segala titik peluh hilang apabila orang ramai menyukai makanan kita dan gembira untuk mendapat makanan Malaysia yang mampu mengubati sedikit kerinduan terhadap tanah air.

 ??  ?? PENULIS bersama rakan di gerai jualan.
PENULIS bersama rakan di gerai jualan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia