Harian Metro

Hukuman mati balasan terbaik

-

New Delhi: Seorang lelaki kejam yang menculik, merogol dan membunuh bayi perempuan sepupunya berusia tiga bulan mendapat balasan segera apabila dihukum mati oleh mahkamah hanya 23 hari selepas melakukan jenayah itu.

Hindustan Times melaporkan, keputusan dibuat Hakim Varsha Sharma terhadap tertuduh, Navin Gadke, 25, paling cepat yang pernah dilakukan menerusi sistem kehakiman di India melalui proses ‘fast track’ (pantas) dalam pada negara itu bergelut dengan gelombang jenayah seksual kejam terhadap wanita serta kanak-kanak.

“Tertuduh merogol bayi berusia tiga bulan empat hari yang tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa selain memberi senyuman dan menangis, namun dibunuh kejam dengan dicampak ke lantai.

“Tindakan itu satu kekejaman bukan saja terhadap individu, malah seluruh masyarakat.

“Tertuduh umpama reputan dalam masyarakat yang perlu disingkirk­an. Jika orang seperti ini sekadar dipenjara seumur hidup mereka mungkin keluar dan melakukann­ya lagi,” katanya.

NDTV melaporkan, kejadian berlaku pada 20 April lalu ketika mangsa tidur bersama ibu bapanya di kaki lima di Indore.

Navin yang berbaring di sebelah mereka melarikan mangsa pada pagi keesokanny­a dan merogolnya di tingkat bawah sebuah bangunan kira-kira 50 meter dari situ.

Mayat mangsa ditemui penjaga kedai dan polis berkata, bayi malang itu mengalami banyak kecederaan di kepala serta kemaluanny­a.

Navin ditahan pada hari sama berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV). - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia