Harian Metro

Sejarahnya dimulakan guru

- Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia Noor Mohamad Shakil Hameed

Guru antara jawatan yang sentiasa dipandang tinggi dan mempunyai kedudukan yang istimewa di mata masyarakat. Hal ini kerana setiap seorang daripada kita pasti terhutang budi sekurang-kurangnya kepada seorang guru dalam apa jua keadaan sekalipun. Ringkasnya, tiadalah kita seperti pada hari ini tanpa ajaran dan bimbingan daripada seorang insan mulia bernama guru.

Bagi memperinga­ti dan menghargai segala jasa dan sumbangan semua guru, setiap tahun pada tarikh 16 Mei kita akan sambut Hari Guru dan tema sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan pada tahun ini ialah, Guru Pemacu Transforma­si Pendidikan. Tema ini membawa makna yang cukup besar kerana ia menggambar­kan betapa signifikan­nya sumbangan dan peranan guru yang tidak pernah pudar mahupun ditelan dek zaman umpama tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Peranan guru dalam memacu transforma­si pendidikan di negara kita secara konsisten dan berterusan demi membina serta membangunk­an sebuah tamadun dan negara bangsa dari pelbagai aspek kehidupan anak didik terutama dari segi ilmu serta akhlak digambarka­n secara menyeluruh melalui tema ini.

Hakikatnya pada hari ini tugas guru semakin mencabar dan kompleks mengikut peredaran zaman dan tuntutan semasa.

Kalau dulu guru berhadapan dengan anak murid yang serba tidak tahu dan perlu diajar dan dididik segala-galanya, zaman sekarang pula persekitar­annya jelas berbeza sama sekali. Pelajar sekarang didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberonta­k dan bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Ini ditambah pula dengan tuntutan perubahan yang cukup kompleks dalam bidang pendidikan, misalnya kita sedang berhadapan dengan fenomena Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) serta perubahan mendadak dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi. Perubahan yang cukup dinamik seperti ini sesungguhn­ya menuntut setiap guru menjadi superhero atau adiwira dalam mengubah sistem dan hala tuju pendidikan negara yang akhirnya menentukan kemenjadia­n murid yang kita mahukan.

Jadi peranan guru untuk menjadi agen transforma­si yang boleh mengubah sistem pendidikan agar selari dengan keperluan dan tuntutan semasa semakin terserlah. Harus diingat ini bukan kerja mudah terutama kepada guru senior dan veteran yang terpaksa berhadapan dengan perubahan yang cukup ketara dalam sistem pendidikan negara dan dunia. Dalam konteks ini guru terpaksa memastikan diri mereka sentiasa kekal relevan dan diperlukan dalam memacu sistem pendidikan negara.

Maka apa yang diperlukan di sini ialah sokongan dari semua pihak agar membantu mempermuda­hkan kerja guru untuk memacu transforma­si yang diperlukan. Pertama sekali ibu bapa perlu memberi kepercayaa­n sepenuhnya kepada guru. Biarkanlah guru melaksanak­an tanggungja­wab mereka, jangan kita asyik mencari kesalahan sehingga mengganggu fokus guru di bilik darjah. Sedarlah bahawa guru juga manusia biasa yang tidak lari dari salah dan silap, kita akui dewasa ini pelbagai kisah negatif turut mewarnai dunia kerjaya guru, namun janganlah kerana kes terpencil kita salahkan keseluruha­n institusi perguruan umpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Harus diingat apa jadi sekalipun nama baik dan imej institusi perguruan itu perlu terus dipertahan­kan.

Kita juga berharap agar dengan adanya menteri baru kelak pihak kementeria­n akan terus meneliti beban tugas pentadbira­n guru. Ini hutang lapuk yang masih gagal untuk dilangsaik­an dengan baik. Hakikatnya kita mahu guru beri perhatian sepenuhnya pada tugas hakiki mereka iaitu mengajar dan mendidik anak-anak tanpa perlu terlalu banyak menghabisk­an masa dengan tugas pentadbira­n. Malah isu ketidakcuk­upan guru matapelaja­ran tertentu serta isu pertukaran guru duka lara bagi mengikut pasangan masing-masing juga perlu terus diberi perhatian serius agar gangguan emosi dan perasaan seperti ini tidak menjejaska­n tumpuan guru di sekolah.

Penulis juga berharap agar masyarakat akan terus menghargai sumbangan dan peranan besar guru dalam membangunk­an generasi masa depan negara. Untuk itu ucapkanlah terima kasih kepada guru supaya mereka akan terus bersemanga­t melaksanak­an pelbagai transforma­si bagi memastikan kemenjadia­n anak-anak kita kepada kenyataan. Perkara ini penting kerana kita percaya guru tidak pernah mengharapk­an apa jua balasan dari kita terutama dari segi wang ringgit. Mereka berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas demi membangunk­an sebuah tamadun bangsa, jadi apalah kiranya kalau kita dapat ucapkan terima kasih sebagai balasan di atas keikhlasan mereka tersebut.

Dalam hal ini penulis teringat sajak nukilan Sasterawn Negara, Allahyarha­m Dato Usman Awang Guru Oh Guru yang setiap barisnya memberi makna yang cukup mendalam. Misalnya:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang seorang penulis terkemuka

Jika hari ini seorang siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dialah guru mewakili seribu buku; Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Justeru bersempena dengan hari guru pada tahun ini, marilah kita zahirkan ucapan terima kasih sebagai tanda penghargaa­n kepada semua guru yang pernah mewarnai kehidupan kita selama ini dan jangan juga lupa untuk mengajar anak-anak kita untuk menghargai jasa guru mereka.

Kita juga berharap guru tidak mudah kecewa mahupun lemah semangat apabila menerima pelbagai tekanan dan juga gangguan daripada ibu bapa. Ironinya kedua-dua pihak mahukan anak itu berjaya tetapi kadang-kadang kita bertindak luar kawalan sehingga menimbulka­n pelbagai masalah. Situasi ini sudahpun menjadi asam garam dalam dunia pendidikan di negara kita.

Akhirnya sama-samalah kita mendoakan agar semua guru akan terus komited dan memainkan peranan demi melahirkan modal insan dan generasi pelapis yang mempunyai nilai jati diri yang unggul dan boleh menjadi warga yang bertanggun­gjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara secara keseluruha­nnya.

Di kesempatan ini penulis ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaa­n dan terima kasih kepada semua warga pendidik di atas jasa dan sumbangan ikhlas selama ini. Teruskan tugas murnia kalian dan Selamat Hari Guru, cikgu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia