Harian Metro

Sedia beri nama calon Kabinet

-

Kota Kinabalu: PKR dan DAP Sabah sudah mengemukak­an beberapa nama untuk dicadangka­n dalam senarai barisan Kabinet negeri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pengerusi PKR Sabah yang juga Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berkata, parti itu mengadakan perbincang­an dengan Ketua Menteri dan mencadangk­an beberapa nama dilantik sebagai menteri serta pembantu menteri.

“Bagaimanap­un, kita tahu ia adalah hak Ketua Menteri untuk melantik barisan Kabinet nanti.

“Kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan (campuran) Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama PKR, DAP serta Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO),” katanya ketika dihubung di sini, semalam.

PKR Sabah memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana Christina mempertaha­nkan DUN Api-Api manakala Ketua Bahagian PKR Penampang Kenny Chua menang di DUN Inanam.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata, belum ada perbincang­an secara rasmi pihaknya dengan Ketua Menteri mengenai perkara itu.

“Setakat ini, hanya ada ‘perbualan tidak rasmi saja’ dengan Ketua Menteri. Tiada siapa tahu (barisan Kabinet) hanya Ketua Menteri saja yang tahu.

“Kami sudah memaklumka­n cadangan daripada DAP untuk disenaraik­an dalam Kabinet negeri...kita tunggu sehingga ia dimuktamad­kan,” katanya.

DAP Sabah menang enam kerusi DUN dengan hanya Jannie Lasimbang sahaja wakil rakyat wanita selepas memenangi DUN Kapayan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia