Harian Metro

KJ TAK SETUJU

- Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@nstp.com.my

 Tolak cadangan jawatan tertentu UMNO tidak dipertandi­ng pada

pemilihan parti

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menolak cadangan untuk tidak mempertand­ingkan jawatan tertentu pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, cadangan seumpamany­a tidak lagi boleh ada dalam UMNO jika mahu kekal relevan dan kembali menambat hati rakyat kerana ia antara punca Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti keramat Melayu itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut menyifatka­n cadangan itu sebagai mengarut kerana ia memberi mesej yang salah kepada masyarakat mengenai hala tuju UMNO selepas PRU14.

“Saya tak setuju kalau ada apa-apa jawatan yang tidak dipertandi­ngkan dalam pemilihan UMNO kali ini.

“Saya gembira jika ada pihak yang menyokong saya (untuk jawatan dalam parti), tetapi apa-apa jawatan untuk saya atau sesiapa pun dalam UMNO mesti dipertandi­ngkan.

“Saya rasa usul tidak pertanding­kan jawatan ini antara sebab mengapa rakyat hilang kepercayaa­n pada kita, seolah-olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli, jadi baik hentikan perkara mengarut ini,” katanya ditemui di Menara Dato’ Onn di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan UMNO Melaka yang mahu jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden masing-masing diserah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein dan Khairy serta ketiga-tiga jawatan tidak dipertandi­ngkan.

Penolakan Khairy terhadap cadangan itu bagaimanap­un berbeza dengan ucapan dasarnya ketika Perhimpuna­n Agung Pemuda UMNO Disember tahun lalu apabila beliau berpendiri­an jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandi­ngkan pada pemilihan parti itu.

Ditanya sama ada sudah tiba masanya beliau bertanding jawatan Presiden, Khairy berkata, masih banyak masa untuk memikirkan mengenai jawatan yang akan dipertandi­ngkan pada pemilihan UMNO nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin senada dengan Khairy apabila turut menolak cadangan tidak mempertand­ingkan jawatan tertinggi dalam parti itu.

“Saya rasa UMNO perlu berubah kerana akar umbi, rakyat sudah berubah, jadi kenapa kita perlu hentikan sesiapa pun yang mahu bertanding bagi mana-mana jawatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia