Harian Metro

‘KJ sepatutnya bersuara awal’

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sepatutnya bersuara lebih awal jika masing-masing merasakan ada masalah dalam kepemimpin­an ketika beliau mengetuai negara dan parti.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu mendakwa, selama ini beliau mengamalka­n sikap terbuka dengan semua pihak bebas bersuara dalam memberi ulasan dan pandangan, meskipun ia mungkin berbeza.

“Saya agak terbuka mengenai perkara ini, cuma saya mahu ia dilakukan secara tertutup kerana kita tidak sepatutnya menyerang sesama sendiri sebagai anggota dalam kerajaan,” katanya.

Najib yang mempertaha­nkan kedudukann­ya sebagai Ahli Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), berkata malah sebagai ahli parti, mereka masih mempunyai kebebasan untuk menyuaraka­n rasa tidak puas hati atau perbezaan pandangan terbabit, seharusnya menggunaka­n kaedah atau saluran sewajarnya.

“Hakikatnya, Khairy boleh datang berjumpa saya dan memberitah­u, kita tidak berada di landasan yang betul atau berdepan masalah yang tidak ditangani sewajarnya.

“Dari situ, saya boleh buat keputusan sama ada mahu menerima atau menolaknya. Namun itu tidak berlaku, beliau (Khairy) sendiri mengakui tidak berbuat demikian,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada portal malaymail.com, semalam.

Dalam temu bual itu, Najib mempersoal­kan keputusan kerajaan menamakan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan kerana perbicaraa­n kes rasuah Setiausaha Agung DAP itu masih berjalan.

Berikutan itu, beliau mendakwa Pakatan Harapan (PH) bersikap pilih kasih apabila menilai integriti ahli parti sendiri.

“Ini (pilih kasih) bertentang­an dengan apa mereka perkatakan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia