Harian Metro

200 rumah terjejas

-

Bandar Baharu: Kira-kira 200 rumah di 10 kampung di daerah ini terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat sejak petang kelmarin. Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Saiful Izham Ramli berkata, setakat awal pagi semalam pihaknya menerima laporan hampir 200 rumah dilanda banjir kilat sejak jam 3.50 petang.

Katanya, kawasan terbabit termasuk Kampung Relau, Sungai Kechil Illir, Permatang Pasir, Tebuk Mat Rasid, Bandar Baharu, Parit Nibong, Bagan Samak, Permatang Kerat Telunjuk, Teluk Sera dan Ayer Putih.

“Kawasan terjejas teruk adalah Kampung Tebuk Mat Rasid dan kami turut menerima maklumat ada bumbung rumah penduduk di Kampung Bagan Samak diterbangk­an angin.

“Dalam kejadian banjir kilat itu, tiada penduduk dipindahka­n kerana air surut cepat.

“Pejabat penyelaras Parlimen petang semalam (kelmarin) bertindak segera dengan menghulurk­an bantuan awal di beberapa kawasan untuk penduduk berbuka puasa,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan banjir kilat berlaku di Kampung Teluk Sera jam 3.56 petang dan jentera bomba dan penyelamat serta ambulans Perkhidmat­an Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menjalanka­n tinjauan dan mendapati dua rumah penduduk dilanda banjir kilat dan tindakan pemantauan terus dilakukan.

“Bagaimanap­un penghuni di dua rumah terbabit pulang ke rumah masing-masing selepas air surut dan operasi tamat jam 6.28 petang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia