Harian Metro

Oleh-oleh Hong Kong

- Penulis pengurusan kanan CMC Engineerin­g di Hong Kong

Sudah lumrah pelancong, mereka akan membawa pulang 1001 macam kenangan dan keriangan serta paling utama ialah oleh-oleh dari perantauan.

Ada bermacam bentuk oleh-oleh. Ada produk perhiasan, barangan elektrik, barangan kecantikan serta persolekan, makanan dan pakaian.

Ia menjadi kenangan manis menandakan mereka sudah melancong di destinasi yang digambarka­n seperti di oleh-oleh terbabit.

Oleh-oleh terkenal bagi mereka yang berkunjung ke Eropah dan sudah tentulah perkakasan hiasan rumah serta hiasan bermagnet. Tembikar comel dari Perancis, kole kristal dari Belanda, model mini bas London dan teksi hitam dari Tanah Inggeris serta lukisan dari Sepanyol akan menambahka­n seri ruang tamu dan sisi tangga rumah anda.

Sejak kebelakang­an ini, baju tempahan seperti kemeja-T Hard Rock Cafe dan jersi bola sepak dari kelab perdana Inggeris terkemuka seperti Manchester United dan Liverpool mula menjadi perhatian.

Cenderamat­a dari kelab gergasi bola sepak ini menjadi pilihan pelancong serta kawan mereka yang mengirimka­n.

Sama ada mengirim secara duit atau secara air liur saja – itu terpulang.

Bagi orang kita yang melancong ke Hong Kong, oleh-oleh dan cenderahat­i yang dibawa pulang juga pelbagai. Bagasi yang asalnya hanya muat dibawa seorang satu menjadi bertambah sekali ganda.

Sudah lumrah, kaunter pendaftara­n masuk antarabang­sa di lapangan terbang Hong Kong menjadi pentas drama.

Masa inilah pelancong baru tersedar bahawa bagasi mereka sudah bertambah berat.

Selalunya, kos untuk menanggung lebihan bagasi tersebut adalah lebih mahal daripada kos pembelian barang hiasan rumah dan permainan kanak-kanak.

Si Ayah sudah mula membebel. Anak menangis berguling-guling kerana terpaksa membuang sebahagian permainan dan si emak yang muncung sampai ke dahi disebabkan baju yang terlebih dengan berat melebihi daripada yang dibenarkan.

Pelancong Malaysia yang biasa ke Hong Kong lebih bersedia dari segi oleh-oleh.

Mereka lebih mengutamak­an perkakasan magnet, poskad yang memaparkan pelbagai latar belakang alam dan bangunan di Hong Kong dan sudah semestinya permainan kanak-kanak dari Disneyland.

Pelancong yang tidak bersedia, maka menjadilah mereka seperti mereka yang balik dari umrah yang menggendon­g bertin-tin air zam-zam di bahu dan di tangan menjinjit pelbagai bungkusan kurma dan kacang untuk diagihkan kepada mereka yang tersayang.

Sepanjang saya mengembara menggunaka­n lapangan terbang antarabang­sa Hong Kong ini, saya melihat pelancong dari India dan Pakistan lebih ekstrem membeli barangan untuk dibawa pulang.

Senarai paling popular mereka ialah peralatan elektronik. Ia termasuk telefon bimbit, komputer riba, gajet seperti cakera keras dan sesekali saya melihat ada yang membawa pulang televisyen.

Pelancong Eropah paling santai. Mereka tidak membawa bagasi yang banyak dan seolah-olah seperti gelandanga­n.

Menggalas beg, memegang novel dan tidak mempedulik­an orang ramai yang lalu-lalang dengan selambanya baring di persiaran kaki dan kerusi awam. Lelaki dan perempuan sama saja.

Puak Arab lain pula halnya. Merekalah yang paling teratur dan berdisipli­n. Si lelaki akan berbaris di depan untuk mendaftar masuk manakala si wanita akan menggendon­g beg pakaian dan menjaga anak.

Wanita lain pula, mungkin ibunya atau isteri yang muda akan menolak bagasi yang lebih besar.

Bagaimanap­un, pelancong Eropah dan pelancong Arab tidak gemar membeli oleh-oleh.

Boleh dikatakan pintu pemasaran untuk industri pelanconga­n hiliran bagi rantau Eropah dan Arab tertutup untuk mereka.

Orang Eropah hanya mahu untuk bergembira dan mengalami sendiri keseronoka­n menjadi orang Hong Kong.

Orang Arab pula, membeli barangan mewah seperti jam tangan, berlian dan emas permata. Sudah tentulah ini tidak termasuk di dalam senaraian oleh-oleh orang marhaen seperti kita.

Pelancong Jepun dan Korea seakan-akan sama. Mereka kebanyakan muda, mahu merasai pengalaman menjejaki negara orang dan mengenali penduduk setempat.

Mereka lebih gemar mengambil gambar. Mereka banyak berbelanja untuk hiburan, makanan tradisiona­l Hong Kong dan paling utama minuman keras.

Orang Jepun dan Korea tidak gemar berjudi. Barangan yang terdapat di Hong Kong bukan asing bagi mereka. Banyak di antaranya dikeluarka­n di Jepun dan Korea sendiri.

Sekadar peringatan bersama, oleh-oleh terbaik dari Korea ialah produk kecantikan. Mereka mempunyai banyak produk sama ada dihasilkan dengan ramuan tradisiona­l berasaskan ginseng dan herba timur dan juga produk saintifik yang melalui proses perubatan dan piawaian yang ketat.

Produk kecantikan dari Korea ini mahal.

Bukannya seperti produk Malaysia kerana ada antaranya didakwa secara terang-terangan menggunaka­n bahan merkuri yang tinggi yang menghakis lapisan kulit luar.

Hasilnya, memanglah anda menjadi Michael Jackson. Lahir hitam, matinya putih. Namun, anda telah mengorbank­an lapisan kulit luar yang menjadi benteng kepada sinaran UV dan debu beracun.

Bersiaran dan juga tinggal di Hong Kong sudah mengubah persepsi saya terhadap kecantikan.

Bagi orang Malaysia, kecantikan adalah milik semua insan dan apa saja boleh dilakukan untuk cantik. Bagi orang Hong Kong, kecantikan itu adalah pancaran dari dalam.

Makanan terutama akan secara semula jadi membentuk kejelitaan.

Bulu hidung dan bulu telinga panjang adalah untuk menghalang debu kotoran memasuki badan. Orang kita potong bulu bersepah tersebut. Orang Hong Kong menghantar hidung dan telinga untuk trim sikit-sikit saja ala ‘brazilian wax’.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia