Harian Metro

Telunjuk putus digilis mesin tebu

-

Kuala Terengganu: Tangan kanan seorang lelaki parah selepas termasuk dalam mesin tebu di Gong Badak di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa, Ahmad Kamarul Hanafi Abdullah, 31, menggunaka­n mesin tebu itu sebelum roda terbabit berputar laju dan menarik tangan kanannya ke dalam roda penggilis.

Katanya, meskipun sempat ditarik keluar namun telunjukny­a putus manakala jari tengah, manis dan kelengkeng terjejas teruk akibat digilis mesin tebu itu.

Bapa tiga anak itu berkata, dia yang berniaga bersama abangnya, Abd Hafiz Abdullah, 36, sudah bersiap untuk menutup gerai, tetapi menghidupk­an semula mesin tebu kerana tidak mahu menghampak­an pelanggan.

Katanya, dia seperti biasa memulakan operasi mesin itu dan memasukkan beberapa tebu yang dipotong ke celah penggilis sebelum insiden malang menimpanya.

“Kejadian itu berlaku pantas apabila tiba-tiba tangan kanan yang menghulur batang tebu itu ditarik ke dalam putaran mesin penggilis.

“Saya terkejut dan terus tarik tangan, tetapi sukar sebelum abang membantu menarik tangan saya keluar dari mesin itu,” katanya ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ahmad Kamarul yang bekerja sebagai jurukimpal berkata, tindakan pantas abangnya itu menyelamat­kan tangan kanannya dari terus digilis.

“Saya guna tangan kanan untuk bekerja dan mungkin perlu menghentik­an jualan air tebu dan kerja lain bagi mengelakka­n komplikasi.

“Saya trauma dengan kejadian itu namun berharap ujian ini cepat berlalu dan dapat meneruskan semula rutin harian,” katanya.

 ??  ?? AHMAD Kamarul dirawat di HSNZ selepas tangan kanannya parah akibat tergilis mesin tebu di Gong Badak.
AHMAD Kamarul dirawat di HSNZ selepas tangan kanannya parah akibat tergilis mesin tebu di Gong Badak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia