Harian Metro

Pukul sampai mati

 Remaja 17 tahun dibunuh selepas ‘rundingan’ dua kumpulan gagal

- Nor Azizah Mokhtar cnews@nstp.com.my

Dipukul menggunaka­n topi keledar dan pengunci besi motosikal hingga cedera parah di tengkuk dan mati serta-merta di bahu jalan.

Ini nasib malang menimpa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang diserang sekumpulan remaja berhampira­n sebuah restoran makanan segera di Taman Melati di sini, pagi kelmarin, dipercayai akibat salah faham.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa dikatakan sedang menolak motosikaln­ya yang rosak di tepi jalan berhampira­n restoran makanan segera berkenaan.

Mangsa yang berasal dari Kampung Fajar, Batu 8, Hulu Klang, dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk.

Terdahulu, abang mangsa bersama kira-kira 15 rakan mengadakan pertemuan dengan sekumpulan kira-kira 10 remaja lain di lokasi sama untuk menyelesai­kan masalah peribadi.

Bagaimanap­un, semasa pertemuan berlangsun­g, berlaku salah faham dan pergaduhan di antara dua kumpulan itu.

Ketika pergaduhan berlaku, mangsa berada hampir dengan abangnya sambil menunda motosikal yang rosak di tepi jalan.

Beberapa suspek kemudian ternampak mangsa dan pergi ke arahnya sebelum memukulnya dengan topi keledar serta besi pengunci motosikal sehingga mangsa meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja lelaki yang juga suspek utama berusia 20 tahun serta 10 rakan mangsa termasuk tiga remaja perempuan berusia antara 13 hingga 18 tahun untuk membantu siasatan.

 ??  ?? MANGSA maut di bahu jalan berhampira­n Taman Melati selepas diserang sekumpulan lelaki.
MANGSA maut di bahu jalan berhampira­n Taman Melati selepas diserang sekumpulan lelaki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia