Harian Metro

UMNO perlu hapus budaya ‘takut’

-

Ipoh: UMNO akan terus ditolak rakyat dan sukar menjadi parti politik yang kuat jika masih terus mengamalka­n budaya ‘takut’ untuk membenarka­n jawatan pemimpin khususnya kepemimpin­an tertinggi dicabar atau dipertandi­ngkan.

Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Khalid Nasir berkata, parti itu sekarang perlu mengambil langkah berani untuk mentransfo­rmasikan diri dengan tidak lagi menggalakk­an tindakan sesuatu jawatan itu dikompromi iaitu dikekalkan kepada penyandang.

Katanya, menerusi pertanding­an, ahli parti itu dapat membuat pilihan mengenai pemimpin mana yang dikenal pasti benar-benar layak untuk menerajui UMNO bagi melakukan proses pemulihan sepenuhnya selepas kalah teruk sehingga kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tetapi, dengan syarat tiada lagi amalan politik wang.

“Jika tidak, UMNO tidak dapat melahirkan pemimpin sebenarnya sebaliknya orang yang tidak layak memimpin tetapi berduit boleh ‘lepas’ ke atas (menjadi pemimpin) manakala orang yang layak memimpin tetapi tiada duit, tidak dapat naik ke atas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas pandangan pelbagai pihak yang membantah cadangan UMNO Melaka agar tiga jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan satu daripada tiga jawatan naib presiden tidak dipertandi­ngkan pada pemilihan parti akan datang.

Antara mereka yang membantah cadangan itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Penganalis­is politik pula berpendapa­t semua jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandi­ngkan pada pemilihan parti akan datang sebagai perubahan yang mampu menarik kembali sokongan akar umbi.

Mereka berpandang­an dasar lama diguna pakai UMNO yang tidak menggalakk­an pertanding­an atas dasar solidariti sudah tidak relevan.

Ketika ini, tugas Presiden UMNO dipikul Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala Naib Presiden, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein menjalanka­n tugas Timbalan Presiden UMNO.

Ini berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 12 Mei lalu selepas kekalahan dalam PRU14.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia