Harian Metro

Lelaki Nigeria maut kereta rempuh SUV

-

Nilai: Seorang pelajar lelaki warga Nigeria terbunuh manakala rakan wanitanya cedera ringan sejurus kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Semarak dekat Taman Semarak di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa yang juga penuntut kolej swasta di Kuala Lumpur berusia 20-an meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

Difahamkan, kereta Proton Saga dipandu mangsa dari Taman Semarak ke bandar Nilai itu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentang­an dan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus dipandu seorang wanita.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Khairolliz­al Abu Kasim berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.30 pagi.

“Pasukan perubatan dari klinik Kesihatan Nilai turut tiba dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Wanita berusia 39 tahun yang juga pemandu SUV cedera ringan. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki pengsan selepas lori muatan pasir dipandunya terbabas dan masuk ke gaung sedalam 30 meter di Jalan Bukit Putus di sini, pagi semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Zainurin Sharif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.46 pagi dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan tujuh anggota.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa, Zainal Mohamad Musa, 41, dari Triang, Pahang tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

“Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluark­an mangsa yang tidak cedera,” katanya.

 ??  ?? ANGGOTA bomba memeriksa keadaan mangsa yang terbabit nahas di Taman Semarak, semalam.
ANGGOTA bomba memeriksa keadaan mangsa yang terbabit nahas di Taman Semarak, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia