Harian Metro

Setulus saudagar Tuhan

Umat Islam perlu berniaga dengan jujur, penuh keikhlasan

-

Ramadan sememangny­a menjadi ‘lubuk rezeki’ buat peniaga. Ada juga yang tidak pernah berniaga sebelum ini turut sama melakukann­ya secara sampingan kerana pulanganny­a memang cukup lumayan.

Sikap anak muda yang berkecimpu­ng dalam sektor perniagaan harus dipuji kerana itu membuktika­n keinginan mereka untuk maju dan terus bersaing.

Sikap berdikari mencari rezeki dengan bekerja sendiri adalah perwatakan seorang Mukmin yang memahami erti peluang untuk menjadi seorang yang berjaya.

Dalam sejarah Islam, ada beberapa sahabat Rasulullah SAW memajukan diri dalam sektor perniagaan. Antaranya, Abdul Rahman bin Auf dan Baginda SAW memberi gelaran ‘Saudagar Tuhan’ kepadanya.

Beliau maju dalam bidang perniagaan kerana di dalam jiwanya tersemat sikap hidup berdikari. Berdikari adalah sikap individu yang luar biasa kerana tidak bergantung harap serta meraih simpati daripada orang lain.

Selepas Abdul Rahman berhijrah ke Madinah untuk menyusuri jejak langkah Baginda SAW, takdirnya begitu baik kerana dijadikan saudara angkat oleh seorang Ansar yang juga hartawan ternama bernama Saad.

Ketika Abdul Rahman ditawarkan pelbagai kemudahan oleh saudara angkatnya itu, beliau dengan penuh sopan menyatakan: “Saudaraku, semoga Allah SWT memberikan berkat kepada keluarga dan harta benda saudara. Jangan disusahkan diri saya ini.

Yang penting pada saya, saudara sudi menunjukka­n saya jalan menuju ke pasar.”

Jangan kita salah faham dengan membuat tohmahan kepada Abdul Rahman kerana tidak bersyukur atau seorang yang tidak mahu berterima kasih atas pemberian orang lain.

Dalam hal itu, jelas beliau begitu menjaga maruah diri dengan mengelak berharap kepada orang lain.

Sehubungan itu, setiap usahawan tidak kira apa saja perniagaan yang dijalankan, mereka wajib mematuhi syariah dalam menjalanka­n perniagaan.

Saban tahun, ada banyak laporan berita memaparkan perbuatan memanipula­si harga barangan sehingga mencetuska­n rasa kurang senang pengguna.

Sikap mengambil untung berlebihan adalah sikap yang bertentang­an dengan etika perniagaan dalam Islam.

Selepas Abdul Rahman bin Auf berjaya menjadi jutawan tersohor dalam kalangan masyarakat Madinah, beliau pernah ditanya bagaimana boleh berjaya, malah mengatasi keupayaan saudagar Yahudi yang sememangny­a pakar dalam bidang perniagaan.

Kata Abdul Rahman, “Aku menjual barangan berkualiti, aku tidak pernah menjual barangan yang cacat, aku tidak pernah sesekali menipu orang yang menjalinka­n urusan niaga denganku. Dan aku berasa cukup yang sedikit, tetapi diberkati Allah

SWT.”

Pada bulan Ramadan ini, usah tamak mengaut keuntungan sehingga lupa pantang larang dalam Islam.

Patuhi syariah supaya segala usaha yang dilakukan itu menjadi ibadat di sisi Allah SWT.

Peniaga juga perlu berdisipli­n supaya tidak terjebak berkata dusta semata-mata untuk melariskan jualan.

Berkata dusta atau berbohong dalam berurus niaga sangat ditegah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan penipuan dalam perniagaan bukanlah ia termasuk dalam golongan umatku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga, ada segelintir peniaga yang menjual semula makanan yang dipanaskan atau dikitar semula pada bulan Ramadan.

Itu satu perbuatan yang amat tidak beretika. Kesannya bukan hanya mengundang dosa, malah memberi kemudarata­n kepada kesihatan pembeli sehingga ada yang terkena cirit-birit.

Rasulullah SAW memberi ingatan yang bermaksud: “Tidak dibenarkan seorang Muslim menjual satu jualan yang mempunyai aib kecuali ia menjelaska­n aibnya.” (Hadis riwayat Imam Al-Qazwani)

Hindari juga urus niaga seperti melakukan monopoli barangan untuk menaikkan harga, menipu dalam aspek timbangan dan sukatan.

Begitu juga perbuatan menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan ada permintaan tinggi daripada pembeli.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Sesiapa yang melakukan penipuan dalam perniagaan bukanlah ia termasuk dalam golongan umatku”

Hadis riwayat Bukhari

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia