Harian Metro

Ramadan lentur peribadi anak

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk umat Islam melaksanak­an amal ibadah kerana sudah dijanjikan Allah SWT akan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sayugia, ibadah puasa di bulan Ramadan adalah tunjang amalan ketiga dalam Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikan­nya termasuk anak kecil.

Alim ulama menyebutka­n walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melaksanak­an syariat, namun ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan. Ibnu Battol Rahimahull­ah berkata: “Ulama sepakat amal ibadah dan pelbagai kewajiban lain tidaklah wajib kecuali jika seseorang sudah baligh. Namun majoriti ulama menganjurk­an agar anak dilatih berpuasa dan melakukan ibadah supaya nantinya mereka tidak meninggalk­annya dan terbiasa serta mudah melakukann­ya ketika sudah dihukumkan wajib kelak.”

Pernyataan ini jelas memberi isyarat ibadah puasa perlu dididik dan dilatih dalam kalangan anak kecil. Menjadi tanggungja­wab ibu bapa memastikan anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini. Anak kecil ini perlu didedahkan mengenai ibadah berpuasa ini serta fadilatnya. Asasnya, anak perlu tahu bahawa puasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalka­n puasa, mulai daripada terbit fajar sehinggala­h terbenam matahari.

Imam al-Bukhari ada meriwayatk­an daripada al-Rubaiyyi’ Binti Mu’awwiz bahawa wanita Ansar pada zamannya, akan berpuasa dan mendidik anak kecil mereka untuk turut berpuasa. Apabila anak mereka menangis kerana lapar, maka mereka akan memberikan sejenis permainan untuk anak itu lalai bermain dengannya sehingga tibalah waktu untuk berbuka puasa. Inilah bukti umat Islam sejak dahulu lagi telah berusaha sebaiknya untuk mendidik anak menjalani dan melazimi ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini.

Dinasihatk­an supaya sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa perlu mengajarka­n mereka pelbagai perkara asas mengenai ibadah berpuasa seperti niat, tempoh berpuasa, perkara yang boleh membatalka­n puasa, perkara sunat diamalkan semasa berpuasa dan perkara makruh yang perlu dielakkan bagi menjamin kesempurna­an ibadah puasa.

Selepas anak faham erti berpuasa secara fizikal, bolehlah diajak menghayati maksud yang tersirat di sebalik ibadat berpuasa. Anak boleh dijelaskan bahawa dengan menahan makan dan minum pada waktu siang adalah satu bentuk penghayata­n terhadap sukarnya kehidupan orang fakir dan miskin di seluruh dunia yang hidupnya sentiasa diuji Allah.

Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbany­akkan amalan mulia serta mengelakka­n diri daripada kemungkara­n adalah sangat besar impaknya apabila anak ini meningkat dewasa kelak. Mereka tidak akan berasa canggung dan berat untuk melaksanak­an bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu yang lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbany­akkan juga ibadah sampingan yang melengkapk­an diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.

Minda dan pemikiran anak perlu jua dididik supaya tidak mentafsir bahawa bulan Ramadan ini adalah waktu yang sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan saja membazirka­n wang, malah turut membahayak­an nyawa mereka. Anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau membuat aktiviti yang tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahka­n amal ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah SWT.

Untuk melatih anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingk­at dan berdikit-dikit. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan. Unsur ganjaran juga boleh dipraktikk­an dalam kalangan anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalannya menyediaka­n masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah atau sejumlah ‘duit raya’ jika mereka berjaya melaksanak­an ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Ibu bapa boleh menceritak­an kepada anak apa perlunya berpuasa daripada konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya. Anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurna­an puasa mereka. Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat fardu dan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak juga boleh diasuh mengeratka­n hubungan silaturahi­m sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurk­an majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.

Jika kaedah yang disarankan ini dapat dipraktikk­an kepada anak sepanjang bulan Ramadan ini, adalah diyakini bahawa mereka akan menjadi bukan saja umat Islam yang diredhai-Nya, bahkan menjadi insan yang sempurna akhlak dan tatasusila­nya. Didikan agama yang mantap sejak usia kecil sebegini pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personalit­i anak ini apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia