Harian Metro

Tarik duit dari alam ghaib

- Yusmizal Dolah Aling yusmizal@nstp.com.my

 Ramai tertipu selepas tertarik tawaran kiyai negara jiran melalui akaun Facebook

Mengaku sebagai kiyai dan habib, sekumpulan penarik duit dikesan aktif mengumpan mangsa menggunaka­n Facebook (FB) dan mendakwa mereka mampu menarik duit dari alam ghaib.

Mereka meyakinkan orang ramai ada bantuan daripada alam ghaib menolong orang di dalam kesusahan namun perlu memasukkan sedikit wang upah untuk melicinkan upacara berkenaan.

Mendedahka­n perkara itu, Penasihat Agama dan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, dalam kes terbaru, seorang lelaki kerugian ribuan ringgit selepas diperdaya lelaki mendakwa kiyai untuk urusan tarik duit di negara jiran.

Katanya, semakan awal PPIM mendapati kumpulan itu menjadikan FB sebagai medium mengumpan mangsa yang tertarik dengan tawaran untuk mendapatka­n wang mudah.

“Sejak kebelakang­an ini, mereka yang mendakwa daripada Ikatan Paranormal Indonesia mencari mangsa kononnya boleh menarik duit dengan bantuan dari alam ghaib yang dikatakan tidak menyalahi hukum agama.

“Mereka ini mendakwa menggunaka­n kaedah dibenarkan agama dan berselindu­ng di sebalik gelaran tertentu bagi mengumpan mangsa yang percaya mereka ini adalah golongan tinggi ilmu agama,” katanya.

Tuan Asmawi berkata, selepas bersetuju, mangsa diminta menyerahka­n sejumlah wang terlebih dulu untuk membiayai proses berkaitan.

Katanya, wang yang diberikan itu dikatakan digunakan untuk pembanguna­n pusat pengajian Islam serta kenduri kesyukuran kerana mangsa sudah mendapat rezeki.

Menurutnya, seorang mangsa kerugian RM3,000 selepas terpedaya dengan tawaran berkenaan yang dilihat di dalam FB.

“Selepas berhubung, mangsa hanya mengikuti nasihat daripada kiyai terbabit untuk memasukkan duit kononnya untuk memulakan proses tarik duit.

“Dia hanya menyedari ditipu selepas kiyai terbabit tidak dapat dihubungi dan usaha untuk berhubung menerusi FB juga gagal. Setakat ini, kita kenal pasti beberapa akaun dipercayai ada kaitan dengan kumpulan itu,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkina­n wujud unsur ilmu hitam yang diamalkan kumpulan ini kerana mangsa tidak membantah apa jua arahan daripada mereka.

Katanya, mangsa menjadi pak turut selepas berbual menerusi telefon diikuti perbualan menerusi aplikasi WhatsApp sehinggala­h duit dipindahka­n ke akaun mereka. “Mangsa diyakinkan setiap proses dilakukan adalah sah di sisi undang-undang dan ditunjukka­n surat rasmi kononnya daripada pihak berkuasa negara jiran berhubung perkara itu.

“PPIM menggesa masyarakat di negara ini berhati-hati dengan permintaan menjadi rakan di FB serta tidak berkomunik­asi dengan setiap panggilan daripada nombor tidak dikenali,” katanya.

 ??  ?? KEGIATAN didalangi lelaki mendakwa kiyai dari negara jiran.
LAMAN Facebook yang dilayari mangsa.
KEGIATAN didalangi lelaki mendakwa kiyai dari negara jiran. LAMAN Facebook yang dilayari mangsa.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia