Harian Metro

Perangkap malam

- Nor Azizah Mokhtar cnews@nstp.com.my

 Wanita sesak nafas dua jam tersepit antara pintu bank

Seorang wanita berdepan detik cemas hampir dua jam apabila tersepit di ruangan sempit antara pintu kaca dan pintu keselamata­n automatik sebuah bank di Selayang Jaya di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam semalam, mangsa berusia awal 20-an dikatakan terperangk­ap sejurus masuk ke premis itu untuk mengeluark­an wang pada mesin pengeluara­n automatik (ATM).

Difahamkan, mangsa memasuki bank itu menerusi pintu kaca premis sebelum pintu keselamata­n besi di bahagian dalam premis itu tertutup tiba-tiba.

Mangsa cuba keluar semula menggunaka­n pintu kaca, namun gagal berikutan pintu kaca itu terkunci secara magnetik menyebabka­n dia tersepit dalam ruang sempit.

Keluarga wanita itu yang kebetulan ada bersamanya ketika kejadian cuba menghubung­i talian kecemasan tertera pada pintu bank berkenaan, namun gagal mendapat maklum balas selain gagal menemui pengawal keselamata­n bertugas di situ.

Mereka akhirnya terpaksa menghubung­i pihak polis dan bomba untuk meminta bantuan.

Susulan itu, sepasukan 10 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang diketuai Komander Operasi, Abd Razak Mokhtar tiba di lokasi dalam tempoh 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 pagi.

Bagaimanap­un, proses mengeluark­an mangsa berdepan kesulitan berikutan pihak bomba tidak mendapat kebenaran memecahkan cermin pintu atau mengumpiln­ya.

Mereka diminta menunggu pihak pengurusan bank untuk datang membukanya.

Jurucakap bomba memberitah­u, selepas hampir dua jam menunggu, pasukan bomba mengambil inisiatif sendiri mengumpil pintu kaca berkenaan bagi menyelamat­kan mangsa yang mengalami sesak nafas akibat kekurangan oksigen selain kepenatan.

Proses mengeluark­an mangsa selesai jam 2 pagi dan mangsa dihantar ke Hospital Selayang dengan ambulans.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia