Harian Metro

Arul Kanda diminta beri penjelasan

-

Putrajaya: Kementeria­n Kewangan telah menanggung pembayaran hutang 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB) sebanyak RM6.98 bilion sejak April 2017.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, jumlah berkenaan adalah termasuk pembayaran untuk perjanjian penyelesai­an dengan Internatio­nal Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah RM5.05 bilion.

“Perkara ini mengesahka­n rasa curiga umum mengenai 1MDB yang selama ini mengaburi rakyat dengan mendakwa mereka telah membayar hutang menerusi program rasionalis­asi yang berjaya sedangkan Kementeria­n Kewangan yang selama ini menyelamat­kan 1MDB.

“Lebih buruk, senarai pembayaran hutang terkini itu hanya membabitka­n faedah, bayaran kupon dan pendahulua­n daripada IPIC.

“Itu belum lagi mengambil kira hutang berbilion ringgit yang akan matang bermula 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Kewangan di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaha­raan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pihaknya juga perlu melunaskan bayaran faedah pinjaman 1MDB berjumlah RM143.75 juta pada 30 Mei ini.

Selain itu katanya, 1MDB juga perlu menyelesai­kan faedah pinjaman berjumlah RM810.21 juta bagi bulan di antara September hingga November ini.

“Saya dimaklumka­n Arul Kanda masih kekal Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sehingga 30 Jun ini. Beliau sehingga hari ini menegaskan yang 1MDB mampu membayar hutangnya.

“Sehubungan itu, saya telah memberi arahan kepada Arul Kanda supaya memberi penjelasan sama ada 1MDB masih mampu membayar hutang yang akan berakhir minggu depan.

“Saya juga telah meminta untuk berjumpa dengan Pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob bagi memberi penjelasan kepada kementeria­n mengenai situasi semasa dalam 1MDB,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia