Harian Metro

Kasih Hazama tak beralih

- Sudirman Mohd Tahir cnews@nstp.com.my

 Penyanyi janji setia bersama isteri walaupun tidak dikurniaka­n zuriat

Penyanyi Hazama berjanji kekal setia dengan isteri, Genervie Kam walaupun tidak dikurniaka­n cahaya mata. Hazama, 34, berkata, soal tidak dikurniaka­n anak bukan alasan dia berkahwin lain walaupun isterinya dikatakan berisiko hamil selepas satu daripada tiub fallopio dalam rahimnya dibuang.

“Memang Genevie sangat bimbang jika saya cari orang lain. Saya bagi jaminan tetap bersamanya. Saya juga tidak pernah terfikir ke arah itu. Layanan isteri terhadap saya cukup dan tiada sebab untuk cari orang lain.

“Isteri juga beri sepenuh kasih sayang dan mengubah saya menjadi lebih baik. Pendek kata, dia melengkapi saya. Kalau perempuan lain belum tentu boleh buat.

“Jadi, kalau tidak dikurniaka­n anak bukan alasan untuk saya cari orang lain. Buat apa saya nak rosakkan hubungan ini. Saya mungkin takkan dapat lagi layanan sama,” katanya.

Hazama berkata, isterinya yang juga pemuzik terlebih dulu memaklumka­n masalah dihadapi sebelum mereka berumah tangga.

“Saya cakap kahwin bukan kerana mahu anak semata-mata, tetapi kerana kasih dan sayang. Kalau memang tiada rezeki anak sampai bila-bila, tidak mengapa. Masih boleh ambil anak angkat.

“Sekarang kami boleh menumpang kasih dengan anak saudara. Lagipun, anak saudara juga boleh dijadikan anak angkat. Tidak rasa ralat sangat kerana darah daging sendiri. Mana tahu ada rezeki selepas itu,” katanya.

Hazama mengakui dia sentiasa berfikiran positif dalam perkara itu kerana beranggapa­n ia ketentuan Allah SWT.

“Kalau Allah nak bagi, Dia bagi. Saya selalu cakap kepada isteri, kita kena percaya kepada rezeki dan ketentuan Allah.

Hazama dan isteri berkahwin pada 15 Januari tahun lalu. Namun, isterinya mengalami keguguran pada Mac.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia