Harian Metro

Mereka ceria

- Balqis Jazimah Zahari news@nstp.com.my

 Enam organisasi bantu 50 anak yatim, ibu tunggal buat persiapan Aidilfitri

Kegembiraa­n jelas terpancar pada wajah 50 anak yatim dan 30 ibu tunggal yang berpeluang membeli-belah pakaian raya di pasar raya Econsave Jelapang di sini, semalam.

Masing-masing menerima sumbangan berupa baucar RM50 setiap seorang dan diraikan pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini.

Program anjuran Persatuan Pegawai Kanan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), (PADUAN) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Yayasan Abu Bakar, Econsave dan Hotel Impiana.

Presiden PADUAN, Zulqarnain Mohamad berkata, program itu kali kelima anjuran persatuan itu bertujuan memberi keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Program ini bertujuan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan pada masa sama dapat mengeratka­n hubungan antara agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan termasuk media pada bulan yang mulia ini.

“Hari ini kami meraikan mereka di majlis berbuka puasa dan sebelum itu dibawa ke pasar raya Econsave Jelapang untuk membeli pakaian raya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Impiana Ipoh, Normah Ahmad, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Mohamad Shahazudin Manaf, Pengerusi Biro Sosial PADUAN, Mohd Syahrizal Azmi dan Wakil Yayasan Abu Bakar (ABF), Huzalina Che Zainol.

Zulqarnain berkata, pihaknya berharap aktiviti berkenaan dapat menjadi program tahunan dan diteruskan pada masa depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia