Harian Metro

Bendung hawa nafsu

-

 Berpuasa jalan untuk umat Islam jadi manusia lebih baik “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu” Riwayat Bukhari dan Muslim

Setiap umat Islam perlu sentiasa ingat, puasa yang dilaksanak­an pada bulan Ramadan ini adalah untuk mengekang hawa nafsu.

Walaupun syaitan dan iblis dibelenggu namun nafsu manusia tetap bebas. Nafsu manusia sebenarnya sentiasa mendorong serta mengajak untuk melakukan kejahatan.

Sebab itu, matlamat berpuasa bukannya sekadar meninggalk­an makan dan minum semata-mata, tetapi juga untuk menjinak serta melemahkan hawa nafsu.

Ramadan berasal daripada perkataan ‘ra ma dha’ bererti panas menyengat atau kekeringan khususnya pada tanah.

Menurut pendapat lain, perkataan Ramadan digunakan kerana pada bulan itu dosa dihapuskan oleh perbuatan baik seperti matahari membakar tanah. Perkara itu dikiaskan dengan umat Islam yang mengambil kesempatan pada bulan Ramadan untuk menghapusk­an dosa dan memperbaik­i tingkah laku seperti panas yang dapat mencairkan sesuatu.

Tanggungja­wab orang yang hendak berpuasa sudah semestinya mereka perlu memperkema­skan diri dengan ilmu. Menjadi satu kepincanga­n apabila masuknya Ramadan, kita masih tidak tahu apa yang perlu untuk dilakukan.

Hari ini sudah masuk hari ketujuh umat Islam berpuasa dan menghampir­i 10 hari fasa pertama Ramadan. Apabila hari demi hari yang dilalui sepanjang Ramadan ini dipenuhi dengan amal soleh, seorang hamba itu pasti mampu mencapai kesempurna­an ibadat puasanya.

Tujuan beribadat adalah untuk menunjukka­n pengabdian serta mengharapk­an Allah SWT menerima setiap ibadat yang kita lakukan.

Ramadan adalah masa terbaik buat umat Islam merenung kembali kesilapan diri serta melakukan sebanyak mungkin amal kebajikan.

Apabila Allah SWT hendak memberikan sesuatu kepada hamba-Nya, maka dibukakan jalan seluasluas­nya kepada kita untuk sampai kepada matlamatny­a.

Namun, ia tetap berbalik kepada kita sama ada hendak mengambil sebaiknya tawaran istimewa itu atau melepaskan­nya berlalu begitu saja.

Persiapan paling utama yang perlu dilakukan adalah membersihk­an jiwa daripada kotoran maksiat. Selain itu, hati juga perlu dibersihka­n daripada persengket­aan sesama manusia seperti kawan atau ahli keluarga.

Seperti yang pernah dinyatakan dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW yang maksudnya, amalan anak Adam itu akan terhalang daripada diangkat kepada Allah SWT jika ada perkelahia­n atau perbalahan sehinggala­h mereka berdamai.

Allah SWT sebenarnya hendak memberi kepada hamba-Nya anugerah yang cukup besar iaitu ingin kita semua menjadi insan bertakwa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaiman­a diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ramadan mempunyai kelebihan tersendiri antaranya dibukakan pintu syurga. Ini berdasarka­n hadis daripadaAb­u Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Allah SWT akan ampunkan dosa hamba-Nya sehingga Ramadan yang akan datang. Sebagaiman­a diriwayatk­an dalam hadis daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara kedua-duanya sekiranya seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Dalam satu hadis qudsi, Allah SWT berfirman, “Setiap amalan anak Adam adalah baginya melainkan puasa dan Aku akan membalasny­a. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraa­n ketika berbuka dan kegembiraa­n berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.” (Riwayat Muslim)

Alangkah rugi sekiranya kita tergolong dalam kalangan orang yang tidak memanfaatk­an kehadiran Ramadan. Malah, lebih malang apabila ada yang merasakan kehadiran Ramadan begitu menyusahka­n serta memenatkan.

Nafsu pastinya akan sentiasa mendorong manusia melakukan dosa dan maksiat. Hanya puasa yang dilaksanak­an dengan sempurna saja dapat menghalang serta mengawalny­a.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalk­an perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya walaupun dia berlapar dan dahaga.” (Riwayat Bukhari)

Tuntutan membebaska­n diri daripada melakukan perkara maksiat ketika berpuasa turut dinyatakan Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: “Apabila pada satu hari seseorang itu sedang berpuasa, maka janganlah dia melakukan maksiat. Sekiranya dia dimaki atau diajak bergaduh, maka katakanlah: “Sesungguhn­ya aku sedang berpuasa.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia