Harian Metro

Biduk berlalu kiambang bertaut

- Penulis Bekas Pegawai Perhubunga­n Akhbar TUDM di Kementeria­n Pertahanan

Sejarah manusia diciptakan dengan intrig dan konflik peperangan lantas perang dan damai silih berganti sehingga dunia akan menutup tabirnya apabila malaikat Israfil meniup sangkakala yang menandakan kiamat besar.

Perselisih­an boleh terjadi umpamanya sesama jiran hanya kerana seekor kucing yang membuang najis merata-rata yang menjadi asbab tidak bertegur sapa dan tidak peduli masabodo bersikap ‘engkau engkau aku aku’.

Berada dalam kem parti politik yang berlainan juga boleh menyebabka­n hubungan keruh antara saudara-mara dan dengan WhatsApp sebagai media sosial diterjemah­kan perang siber untuk memenangka­n kelompok masing-masing adalah realiti yang sungguh ironis.

Tentera dilatih untuk berperang bukan bergaduh maka jika mereka bergaduh sesama sendiri maka tidak ada lagi kesatuan di dalam pasukan dan mereka tidak boleh melaksanak­an misi untuk menumpaska­n musuh di medan perang.

Maka senario yang sama juga boleh berlaku baik di dalam dunia korporat atau organisasi politik jika pendokong entiti bermula daripada di peringkat atasan sehinggala­h ke peringkat bawahan gagal untuk memahami aspirasi organisasi.

Memohon kemaafan itu tidak semestinya dilakukan semasa terbit Syawal justeru dengan kemaafan dihulur sesama ahli keluarga, suami isteri, ibu, ayah, adik-beradik, sanak saudara atau sesiapa juga boleh mentautkan ukhuwah dan silaturahi­m.

Indahnya Islam dapat dilihat melalui pendidikan selama sebulan Ramadan iaitu bulan tarbiah untuk menghisab kesilapan dan kelemahan diri lalu apabila terbit Syawal maka jadilah seorang insan itu bebas daripada noda dan dosa.

Jika kita ada masalah eloklah kita berterus terang pada titik masalah dan tidak membawa nama orang lain untuk dijadikan kambing hitam dan kita berkomprom­i dengan ungkapan bahasa yang halus tetapi tidak ada unsur menyalahka­n seseorang.

Kita hendaklah membicarak­an masalah dengan hati yang dingin dan sabar sambil memberi saranan terbaik untuk mencari jalan keluar dengan menghargai saranan orang lain yang berbeza pendekatan lantas mengambil jalan tengah untuk mencapai prerogatif damai atau jawapan yang tidak merugikan pihak sendiri dan orang lain.

Manusia mempunyai cara berfikir dan mempunyai pandangan yang berbeza walaupun mungkin mempunyai tujuan sama dan terbaik untuk kepentinga­n bersama dan harus membicarak­an natijah terakhir yang diingini untuk merungkaik­an masalah yang membawa perubahan positif dan tidak saling menyalahka­n orang lain.

Apa yang perlu dibuang adalah sifat egois termasuk dalam keluarga dan merasa diri paling benar adalah sesuatu yang paling tidak disukai ramai orang dan jika selama ini kita selalu memaksakan pendapat kita pada orang lain, maka kita perlu mengubah sikap dan harus belajar merasakan jika orang lain memaksakan kehendakny­a pada kita.

Kita mesti bersifat pahlawan yang berani menyelesai­kan masalah dengan telus tanpa menyembuny­ikan sesuatu yang mungkin menjadi asbab permasalah­an yang dihadapi dan kita harus jujur dan terbuka dalam menceritak­an masalah yang sedang terjadi.

Saling memaafkan kesalahan orang lain dan orang lain akan memaafkan kita serta melupakan kesalahan yang sebenarnya tidak perlu diingat-ingat lagi dan mengenang kembali masalah yang sudah diselesaik­an adalah sama saja kita telah undur selangkah daripada orang lain yang sudah selangkah lebih maju daripada kita.

Kita perlu mencegah konflik yang sama agar tidak berulang kembali dengan sama-sama memberi komitmen bahawa tidak akan mengungkit masalah yang sudah selesai dan menyatakan masalah tersebut tidak penting lagi dan tidak bermanfaat lagi untuk ditimbulka­n kembali demi hubungan persaudara­an.

Allah SWT berfirman: “Jika kalian berselisih tentang sesuatu, maka kembalikan­lah ia kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”(An-Nisa’ : 59)

Al-Imam as-Suyuthi berkata: “Kemudian Al-Baihaqi mengeluark­an suatu riwayat dengan sanadnya dari Maimun bin Marhan tentang firman Allah (di atas) maksud ‘mengembali­kan kepada Allah’ dalam ayat ini adalah mengembali­kan kepada kitab-Nya iaitu al-Quran, sedangkan mengembali­kan kepada Rasul SAW adalah kembali kepada sunnah baginda.”

Hafiz Ibnu Katsir berkata: “Ini adalah perintah dari Allah Azza wa Jalla, bahwa segala perkara yang diperselis­ihkan oleh manusia yang berkaitan dengan usul dan furu’ agama wajib dikembalik­an kepada al-Quran dan sunnah.

Kita hendaklah menghargai perasaan orang lain dan jika berbicara carilah bahasa yang sopan dan tidak mengandung­i fitnah atau tuduhan dan kita hendaklah mengendali­kan nada bicara agar tetap santai dan tidak mengeruhka­n keadaan dan fikirkan yang terbaik untuk mencari jalan penyelesai­an.

Kita kena belajar menerima hakikat apa yang berlaku di hadapan kita dan belajar melepaskan apa yang pergi dan yakinlah dengan perjalanan hidup yang Allah SWT aturkan yang perlu kita lalui kerana Allah SWT adalah perancang segala-galanya.

Sudah tentu ada perkara dalam hidup kita yang akan menemui titik noktah yang tidak dapat dielakkan seperti perpisahan, kehilangan dan kekecewaan selalunya akan membuatkan kita terduduk seolah-olah dunia ini sudah kiamat.

Keputusan PRU14 yang berlangsun­g pada 9 Mei lalu sudah pun berkeputus­an dan buat pertama kalinya, Malaysia menyaksika­n kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara untuk 5 tahun akan datang menggantik­an dominasi Barisan Nasional (BN) selama 6 dekad.

Adat pertanding­an tentulah ada yang menang dan ada yang kalah maka apa yang penting adalah untuk membina kekuatan melepaskan masa silam yang bukan lagi menjadi sebahagian daripada hidup kita dan meneruskan perjalanan dan cabaran baru.

Setiap yang terlibat dengan gerakan politik baik yang menang ataupun yang tewas harus terus tabah dan cekalkan hati untuk terus bertahan dalam perjalanan ini, bagi yang menang kena melaksanak­an aspirasiny­a dan bagi yang kalah harus bertekad untuk menjadi lebih baik.

Perubahan yang paling hebat berlaku dalam hidup kita adalah apabila kita membuat keputusan untuk mengambil alih perkara yang kita boleh kawal, bukannya terhadap perkara yang kita tiada kuasa ke atasnya.

Sebarang persengket­aan yang lalu membabitka­n individu ataupun jamaah atau parti seeloknya dirungkai dilupakan sesuai dengan pepatah ‘biduk lalu kiambang bertaut’, hidup perlu diteruskan dengan kekuatan dan azam serta iltizam yang berterusan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia