Harian Metro

Tamparan berangkai

- Farah Marshita Abdul Patah cnews@nstp.com.my

 Warga emas pukul kanak-kanak bertalu-talu dijel sehari, denda RM6,000

Petaling Jaya: Wanita warga emas yang dirakam menampar dan memukul seorang kanak-kanak perempuan lebih 30 kali menggunaka­n rotan hingga tular video kejadian itu dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhka­n hukuman itu terhadap tertuduh, V Tanawali, 63, selepas wanita itu menukar kepada pengakuan bersalah dan sepatutnya semalam adalah sambung bicara kes itu apabila seorang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh dipenjara bermula semalam dan enam bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda itu dan tertuduh membayarny­a.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh yang juga penjaga mangsa didakwa melakukan penganiaya­an kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ketika kejadian dengan memukulnya menggunaka­n rotan pada bahagian muka, badan, kedua-dua kaki dan tangan di rumah di Taman Puchong Perdana, jam 11 pagi, September 2016.

Dakwaan kes dikemukaka­n mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela G Manimegala­i memohon mahkamah mengenakan ringan atas sebab pengakuan salah anak guamnya menjimatka­n masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh menjaga mangsa sejak lahir dan hanya tertuduh saja yang menjaga kanak-kanak itu apabila ibu dan bapa mangsa meninggal dunia dan ketika kejadian, tertuduh bertindak memukul kanak-kanak itu bertujuan mengajar mendisipli­nkan mangsa,” katanya.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya V V Suloshani memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes dan faktor kepentinga­n awam.

“Tertuduh hanya mengaku bersalah selepas perbicaraa­n kesnya dijalankan dan bukan pertama kali ketika dia dituduh,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa dipukul oleh tertuduh di bahagian muka, badan serta kaki dan tangan menggunaka­n rotan kerana tidak sengaja menjatuhka­n makanan.

Rakan tertuduh yang turut berada di dalam rumah itu bertindak merakam perbuatan tertuduh yang memukul mangsa yang kemudian tular di media sosial.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia