Harian Metro

Dua konstabel tidak mengaku minta suapan

-

Kuala Lumpur: Dua konstabel polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan memperoleh suapan daripada seorang lelaki untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapny­a, tahun lalu.

Ahmad Nazreen Hajman, 29, dan Muhammad Amin Azemi, 25, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kepong dengan niat bersama telah secara rasuah meminta suapan wang RM1,000 daripada Mohamat Hasanudin Cholis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang memandu tanpa lesen yang sah.

Wang itu juga sebagai dorongan untuk melepaskan Mohamat Hasanudin dan Zulfaizan Zainuddin yang disyaki terbabit dengan kes dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Metro 2, Kepong antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, 22 April 2017.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah seksyen 24(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dengan niat bersama secara rasuah memperoleh wang RM100 daripada Mohamat Hasanudin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan yang sama di kawasan perumahan belakang Jalan Taman Emas, Kepong antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, 22 April 2017.

Sementara itu, Ahmad Nazreen berdepan dengan satu lagi pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan wang RM500 daripada Mohamat Hasanudin sebagai upah kerana tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya dan Zulfaizan di hadapan Maybank Kepong Prima Jalan Prima 5, Kepong pada jam 9.50 malam, 22 April 2017.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman, manakala peguam Nor Azri Mohd Arif bertindak bagi Muhammad Amin. Ahmad Nazreen bagaimanap­un tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abdul Rashid menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap Ahmad Nazreen, manakala bagi Muhammad Amin, pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarka­n kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 10 Julai ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia