Harian Metro

Teruja makan di hotel mewah

-

Kuching: “Jika tidak dibawa ke sini, tidaklah saya merasa makan di hotel sepanjang hidup,” kata seorang petani yang hanya mahu dikenali sebagai Borhan.

Warga emas berusia 60 tahun itu antara 17 keluarga miskin dari Petra Jaya dan Santubong yang diraikan Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place) untuk berbuka puasa di Hotel Imperial, di sini, semalam.

Borhan, dari Santubong berkata, sebelum ini dia hanya pernah mendengar ramai yang bercerita mengenai keenakan makanan di hotel mewah.

“Apakan daya saya tidak mampu. Saya sekadar menelan air liur setiap kali mendengar cerita mereka. Malah, tidak pernah saya terfikir pun berpeluang menjamu selera di hotel.

“Bagai mimpi akhirnya saya makan di tempat seperti ini,” katanya yang enggan gambarnya disiarkan.

Sementara itu, pengasas Hope Place, Kelvin Wan berkata, pihaknya berusaha menggembir­akan keluarga miskin yang kebanyakan­nya tidak pernah merasa makan di restoran.

Malah katanya, ada kalangan anak-anak keluarga itu tidak pernah makan ais krim.

“Kami memilih keluarga yang betul-betul susah kerana Hope Place ingin berkongsi keriangan menjelang perayaan bersama mereka.

“Kita mahu mereka menikmati makanan yang mungkin tidak pernah mereka temui sebelum ini dan berharap sumbangan kecil kami ini menjadi kenangan manis mereka,” katanya.

Kelvin berkata, selain dibelanja berbuka puasa, lebih 20 anak keluarga miskin itu turut diberi duit raya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia