Harian Metro

‘Alat ganti’ terlarang

- Kalbana Perimbanay­agam cnews@nstp.com.my

 Lelaki dicekup cuba guna kurier hantar kokain RM529,000

Cubaan kali pertama seorang lelaki dipercayai ‘orang tengah’ mengedar dadah bernilai RM529,000 ke Australia menggunaka­n syarikat kurier di Jalan Chan Sow Lin, di sini, gagal apabila dia ditahan polis Selasa lalu.

Hasil maklumat diterima berhubung bungkusan yang dilabel sebagai alat ganti, polis menahan suspek berusia 23 tahun di rumahnya di Puchong Jaya, Selangor.

Pemeriksaa­n pada bungkusan itu mendapati ia mengandung­i 2.65 kilogram dadah jenis kokain yang akan dihantar ke Australia.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzam­an Mamat berkata, suspek yang juga penganggur dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menghantar bekalan kokain ke Australia.

Katanya, lelaki itu dibawa ke syarikat kurier berkenaan jam 2 petang sebelum polis menemui dadah disembunyi­kan dalam lapan penyerap hentakan kereta yang mahu dihantar ke satu alamat di Australia.

“Dadah dirampas dalam serbuan itu dianggarka­n bernilai RM529,000 dengan harga pasaran RM200,000 bagi setiap kilogram. Bagaimanap­un, dadah itu tidak terkenal di pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, semalam.

Kamarulzam­an berkata, pihaknya percaya bahan itu tidak dihasilkan di negara ini.

“Kemungkina­n besar Malaysia hanya dijadikan lokasi transit yang digunakan sindiket penyeludup­an dadah antarabang­sa untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Polis percaya suspek orang tengah yang mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludup­an dadah lebih besar dalam negara dan di peringkat antarabang­sa,” katanya.

Beliau berkata, anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) IPD Cheras dan JSJN Bukit Aman melakukan dua serbuan di Jalan Chan Sow Lin dan Puchong Jaya.

“Kami percaya ada lebih ramai warga tempatan yang mungkin terbabit dalam kegiatan ini dan berharap kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludup­an dadah menghubung­i polis.

“Pada masa sama, kami masih menyiasat hubungan suspek dengan sindiket penyeludup­an dadah antarabang­sa dan individu lain yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan didapati negatif dadah.

“Dia kini ditahan reman sehingga 29 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia