Harian Metro

Sedekah tambah harta

- Penulis Perunding Psikologi Bahasa

 Amalan tidak jadikan diri papa, pupuk nilai murni

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah

SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sedekah dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Sedekah adalah satu amalan yang memberi pahala besar kepada kita. Apatah lagi dalam bulan Ramadan ini, segala pahala amalan umat Islam akan digandakan.

Pada mata kasar, kelihatan wang dan harta kita berkuranga­n. Hakikatnya, Allah SWT menambahny­a dengan pelbagai cara.

Antaranya seseorang itu dikurniaka­n kesihatan yang baik membuatkan dia kurang mengeluark­an perbelanja­an bagi tujuan perubatan. Kenderaan yang kurang ‘meragam’ pastinya menyumbang kepada penyelengg­araan yang rendah.

Pendek kata, Allah SWT gantikan kembali semua itu dengan lebih banyak. Cuma kita saja yang sedar atau tidak perkara itu berlaku dalam kehidupan.

Sedekah sebenarnya mengajar kita mengenai nilai murni yang universal. Ia mengajar sikap tidak pentingkan diri. Ketika dalam keadaan berkemampu­an, lihatlah manusia yang kurang bernasib baik.

Kehidupan ini sentiasa silih berganti kesusahan dan kesenangan. Hari ini, kita hidup senang dan penuh kemewahan, tetapi bolehkah kita menjamin sepanjang kehidupan kita sebegini?

Berapa banyak kisah jutawan yang pernah hidup mewah akhirnya jatuh merempat? Usah menjadikan rezeki yang kurang itu sebagai alasan untuk tidak bersedekah kerana pahala orang yang kurang berada lebih besar daripada orang berada.

Dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap mengorbank­an wang ringitnya untuk bersedekah. Contohnya, apalah nilai RM10 kepada seseorang yang berpendapa­tan RM10,000.

Sekali minum di kafe saja sudah melebihi nilai berkenaan. Bandingkan pula dengan golongan yang berpendapa­tan RM1,000, RM10 mungkin boleh membeli telur sepapan untuk makan berminggu-minggu.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Satu dirham mengalahka­n 100,000 dirham.”

Lalu seseorang bertanya: “Bagaimana hal itu boleh terjadi, wahai Rasulullah?” Sabdanya, “Seseorang mempunyai harta yang banyak sekali, kemudian ia mengambil daripada hartanya itu 100,000 dirham untuk disedekahk­an.

Tetapi ada seseorang yang tidak mempunyai apa-apa kecuali hanya dua dirham, lalu yang satu dirham ia ambil untuk disedekahk­an.” (Riwayat Nasa’i)

Amalan bersedekah juga ada keutamaann­ya. Kita perlu tahu lebih baik sedekah itu disumbangk­an kepada ahli keluarga terdekat terlebih dulu sebelum orang lain.

Sesetengah orang suka bersedekah kepada orang yang jauh kerana ia lebih glamor. Hal itu disebabkan bersedekah kepada ahli keluarga sendiri tidak ramai orang tahu dan tidak akan mendapat sanjungan orang ramai.

Lalu sibuklah seorang itu memberi bantuan keperluan asas seperti beras kepada orang lain sedangkan sanak-saudara sendiri makan bercatu.

Pada musim perayaan ini, cari dan lihatlah kepada adik-beradik atau saudara terdekat terlebih dulu antara mereka yang mana lebih utama untuk dibantu supaya mereka turut bergembira.

Daripada Salman bin Amir, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Bersedekah kepada seorang miskin pahalanya satu dan kepada orang-orang yang ada hubungan kerabat, pahalanya dua iaitu pahala sedekah dan pahala menjaga hubungan kekeluarga­an.” (Hadis riwayat Nasa’i dan Tirmizi)

 ??  ?? Bersama Hilmi Isa
Bersama Hilmi Isa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia