Harian Metro

Bagi saya sama je...

- Ramlah Zainal cnews@nstp.com.my

 Erma Fatima dah biasa sambut Ramadan tanpa suami

Pengarah dan pelakon Erma Fatima mengakui dia tidak berasa sebarang perbezaan menyambut Ramadan buat kali pertama tanpa kehadiran suami di sisi. Erma, 50, yang bercerai dengan pengarah Bade Azmi pada Ogos tahun lalu berkata, dia juga tidak berasa kehilangan kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu.

“Saya rasa sama saja dan tiada bezanya menyambut Ramadan seperti tahun sebelumnya. Saya tidak berasa kehilangan suami mungkin kerana Bade sendiri sudah menetapkan giliran untuk bersama saya dan anak di rumah selang sehari ketika kami masih suami isteri dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama bersiri popular Mak Cun ini berkata, dia juga tidak terfikir untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan hidupnya ketika ini.

“Dalam hidup saya sekarang, anak adalah harta yang paling berharga dan saya cukup bahagia bersama mereka.

“Saya juga tidak mahu menyusahka­n diri mencari pengganti kerana bukan senang mencari orang yang memahami. Setakat ini, tiada mana-mana lelaki pun yang berani mendekati,” katanya.

Erma berkata, rutinnya pada Ramadan ini adalah memasak dan menunaikan solat Tarawih bersama anak.

“Saya juga berehat dan tidak bekerja pada bulan yang mulia ini. Inilah masanya saya menghabisk­an masa berkualiti, berbuka puasa dan bersahur bersama anak.

“Anak berasa sedih jika saya tidak dapat berbuka bersama mereka di rumah. Sebab itu, saya merancang untuk bawa anak sekali untuk menghadiri majlis buka puasa bersama anak yatim di Kedah minggu ini,” katanya.

Erma dan Bade bercerai pada 17 Ogos tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 16, dan Nurain, 12.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia