Harian Metro

Dicekup berjudi dek tawaran lumayan

-

Ipoh: Teruja kerana pernah memenangi taruhan berjumlah RM30 mendorong remaja lelaki gian untuk terus berjudi jenis ‘bola ping pong’ di sebuah premis judi tanpa lesen yang bersembuny­i di sebalik pusat snuker di Taman Seri Bercham, di sini, malam kelmarin.

Remaja berusia 19 tahun itu antara 39 individu yang dicekup Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsteris­me (STAGG) Bukit Aman dalam serbuan Ops Dadu di dua lokasi berasingan di taman itu pada jam 10.15 malam.

Remaja terbabit memberi alasan mengunjung­i premis itu selepas diajak rakan untuk bermain snuker.

“Pada mulanya saya datang bermain snuker saja namun permainan judi ping pong yang terletak secara terbuka di tepi sudut premis menarik perhatian hingga saya ‘terjebak’ untuk bertaruh.

“Kali pertama bertaruh saya menang RM30, sudah menang sekali mesti gian nak main lagi,” katanya ditemui di lokasi.

Seorang lagi yang ditahan iaitu pekerja kontrak berusia 36 tahun berkata, dia tidak sangka kali pertama berjudi di premis judi itu dirinya dicekup.

“Biasa saya lihat orang main tak terfikir pun nak bertaruh tetapi malam ini rasa tergerak hati, namun tak sangka pula kena cekup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Deputi Superinten­dan Arsad Kamaruddin berkata, kedua-dua premis diserbu pasukan STAGG membabitka­n 19 pegawai dan anggota selepas pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti perjudian judi bola ping pong.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai diketuai dua lelaki dikenali Ah Wee dan Ah Ngan, berusia 40-an dan kegiatan itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Dua premis berkenaan dipercayai mampu menjana keuntungan antara RM2,000 hingga RM5,000 sehari dan beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 3 pagi.

“Serbuan dijalankan berjaya memberkas 39 individu membabitka­n 14 penjaga premis dan 25 pemain judi berusia antara 16 hingga 63 tahun dan merampas dua set judi bola ping pong, 11 set cip merah jambu dan biru serta wang tunai RM1,572,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia