Harian Metro

Peniaga masih kekal harga bahan basah Merungut harga melambung

- Wartawan NSTP am@hmetro.com.my

Harga bahan basah yang masih stabil sekitar daerah ini mampu meredakan hati pengguna terutama pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri kelak.

Tinjauan di beberapa pasar awam dan kedai runcit termasuk Smart Pandan serta Taman Molek di sini, mendapati kebanyakan peniaga masih mengekalka­n harga jualan sebelum ini.

Berikutan itu, harga ayam kekal pada RM7.50 sekilogram, ikan kembung RM10 setengah kilogram dan sotong RM16 setengah kilogram.

Tinjauan juga mendapati rata-rata peniaga meletakkan tanda harga yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ia sekali gus membolehka­n pengguna yang sebahagian besarnya suri rumah menarik nafas lega.

Pengguna, Fauziah Ahmad Sarul, 40 berkata, harga bahan basah seperti ikan kembung atau ayam masih sama berbanding sebelum ini.

“Memang semua orang tahu barang mahal sekarang ini. Tetapi bagi mak cik yang sudah biasa ke pasar setakat ini dilihat harga masih sama macam sebelum ini.

“Kalau nak kata murah itu tidak tetapi setakat ini baik pasar atau kedai runcit semua harga lebih kurang sama,” katanya.

Pengguna di Kedah dan Perak merungut berikutan kenaikan harga daging lembu tempatan dan ayam antara RM1 hingga RM2 sekilogram (kg) sepanjang minggu pertama Ramadan.

Tinjauan wartawan di sekitar Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah, mendapati ada peniaga menaikkan harga daging antara RM34 sehingga RM35 berbanding RM32 dan RM33 sebelum ini.

Di pasar ayam Amanjaya, Ipoh pula, pengguna mendapati harga ayam naik kepada RM7 per kg berbanding sebelum ini iaitu RM6.30.

Kebanyakan peniaga yang ditemui menyalahka­n pembekal menaikkan harga menyebabka­n mereka tiada pilihan lain selain turut sama menaikkan harga jualan.

Bagaimanap­un situasi berbeza di negeri lain yang menunjukka­n harga barang mentah masih sama seperti sebelum ini.

Di Pasar Awam Kepala Batas, Pulau Pinang, harga daging lembu segar masih mengikut nilai pasaran semasa iaitu antara RM33 dan RM34 per kilogram seperti ditetapkan.

Tinjauan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur mendapati harga daging lembu segar masih terkawal dengan kebanyakan peniaga menjual pada kadar RM38 per kg.

Di Port Dickson, Negeri Sembilan, harga ayam segar standard ialah RM7.20 per kg manakala ikan selar (RM18.00/kg); ikan kembung (RM17.99/kg); daging kerbau import (RM18.99/kg) dan lobak merah (RM3.99/kg).

Tinjauan di sebuah pasar di Seremban 2 pula mendapati harga ayam segar standard RM7.40 per kg manakala ikan selar (RM18.99/kg); ikan kembung (RM12.99/kg); daging kerbau import (RM20/kg) dan lobak merah (RM5.90/kg).

Di Kuala Nerus, Terengganu, harga barang basah di beberapa kedai dan gerai seperti ayam, ikan dan sayuran masih berada pada harga biasa dan tiada kenaikan berlaku sepanjang Ramadan ini.

Ayam dijual pada harga RM6.99 per kg, sotong RM25 per kg, ikan selayang RM7 per kg dan udang segar RM31 per kg.

Sementara itu, harga barangan di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, menunjukka­n kenaikan manakala harga ikan turun sedikit.

 Daging lembu, ayam naik RM1 hingga RM2 sekilogram

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia