Harian Metro

‘Segalanya musnah’

 Guru mengaji al-Quran sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah hangus dalam kebakaran selepas berbuka puasa

- Mohd Roji Kawi mdroji@nstp.com.my

“Kejadian itu terlalu cepat. Saya hanya sempat menyelamat­kan diri ketika asap tebal menyelubun­gi ruang tamu rumah kami,” kata Rosiah Sebli, 56.

Dia antara 13 penghuni tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bintawa Hilir di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian jam 8.45 malam itu, dia menonton televisyen di ruang tamu selepas selesai berbuka puasa.

“Saya terkejut melihat asap tebal yang entah datang dari mana, tiba-tiba memenuhi ruang tamu.

“Pada masa yang sama, saya mendengar jeritan jiran dan tanpa berlengah saya terus lari keluar,” katanya.

Rosiah berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia tidak sempat mencapai barangan termasuk dokumen peribadi, kerana yang penting nyawa perlu diselamatk­an.

Kini, dia bersama suami, Mohd Ali Narawi, 57, serta anak lelaki mereka yang berusia 26 tahun, tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan mereka musnah dalam kejadian itu.

“Kami kini menumpang di rumah ahli keluarga dan setakat ini kami tidak memikirkan soal raya kerana semua persiapan termasuk baju raya kami tiga beranak semua musnah.

“Malah semua kitab suci al-Quran milik suami yang juga seorang guru mengaji, musnah,” katanya.

Selain Rosiah bersama keluarga, rumah yang didiami sepasang suami isteri serta sebuah rumah yang disewa lapan orang sekeluarga di belakang rumah mereka turut musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 malam.

Beliau berkata, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika anggota bomba tiba, api marak memusnah semua rumah itu dan kini siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

 ??  ?? KEADAAN kebakaran dua rumah di Kampung Bintawa Hilir Kuching, semalam. ROSIAH sayu melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran.
KEADAAN kebakaran dua rumah di Kampung Bintawa Hilir Kuching, semalam. ROSIAH sayu melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia