Harian Metro

ZOEY berguru dengan ernie

- Ramlah Zainal

sedekad mencanai bakat sebagai pelakon dan pengacara, Zoey Rahman mengakui dia tidak lagi mengejar glamor dan populariti.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abd Rahman ini, apa yang penting namanya terus bertahan dan mendapat kepercayaa­n penerbit dan pengarah drama serta filem.

“Saya bersyukur dengan apa yang dikecapi ketika ini. Malah, tawaran berlakon juga tidak pernah putus sampai hari ini.

“Selain menceburi bisnes, dunia hiburan periuk nasi saya dan kerana itu saya perlu tampilkan kelainan untuk bersaing dengan bakat baru yang mewarnai industri hiburan ketika ini,” katanya.

Justeru, Zoey merancang mengembang­kan cabang seni yang ada untuk kekal relevan.

“Selepas berlakon dan mengacara, saya mahu kembangkan bakat dalam bidang nyanyian pula.

“Sebab itu saya tidak lepaskan peluang keemasan untuk terbabit dalam kempen lagu tema raya Mydin berjudul

Girang Syawal Tiba bersama barisan artis FMC iaitu Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Tajul, Sissy Iman dan Wani GGV,” katanya.

Sebagai persediaan bergelar penyanyi, Zoey juga mengikuti kelas vokal yang dianjurkan Ernie.

“Saya belajar vokal bukan untuk menyanyi semata-mata sebaliknya teknik lontaran vokal yang betul juga penting dalam lakonan terutama di pentas teater.

“Ikutkan, saya paling senior tetapi saya bertuah kerana dapat berganding­an dengan barisan penyanyi hebat dan popular daripada FMC untuk projek lagu raya ini,” katanya.

Berbicara mengenai perkembang­an karier seni di Indonesia pula, kata Zoey, dia akan berulang-alik ke Jakarta jika terbabit dengan projek lakonan mahupun pengacaraa­n di sana.

“Sebelum ini, saya membintang­i filem Mantan yang sudah ditayangka­n di Indonesia pada tahun lalu.

“Selain itu, saya terbabit dengan program televisyen, Pesbukers yang bersiaran menerusi ANTV berganding­an dengan artis Indonesia Ayu Ting Ting, Raffi Ahmad dan Ruben Onsu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia