Harian Metro

‘Isu tak hormati Ramadan tidak timbul’

-

Kuala Lumpur: Isu tidak menghormat­i Ramadan sepatutnya tidak timbul kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah melakukan yang terbaik termasuk meminda waktu perlawanan bagi memberi ruang kepada pemain dan pegawai beragama Islam menjalanka­n tanggungja­wab masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang meneruskan liga ketika Ramadan sebaliknya negara Islam lain seperti Oman, Iraq dan Indonesia turut menjalanka­n perlawanan di sepanjang tempoh itu.

“Isu tidak menghormat­i (Ramadan) tak timbul. Jika (waktu perlawanan) bertembung dengan waktu solat tarawih mungkin ada kontrovers­i, tapi kita sudah melewatkan perlawanan bagi memastikan ibadat dan sebagainya dapat dilakukan dengan sempurna.

“Malah, bukan setiap hari ada perlawanan, jadi saya rasa tiada isu. Semua pihak harus beri peluang kepada kami kerana faktor utama (meneruskan aksi di bulan Ramadan) ialah bagi mengelak jadual perlawanan menjadi padat.

“Bayangkan betapa padat jadual Liga M nanti jika perlawanan bulan ini dilangsung­kan di luar Ramadan. Jadi kita juga perlu lihat kepada kebaikanny­a dan kita yakin bahawa untuk jangka masa panjang bila orang semua sudah biasa, isu ini tidak timbul.

“Kita menghormat­i sepenuhnya Ramadan, dan tiada niat atau apa-apa unsur negatif. Kita harapkan perkara ini tidak dijadikan sebagai perkara yang negatif kerana tiada isu yang timbul sebenarnya,” katanya.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Radhi Mat Din mendakwa MFL tidak menghormat­i Ramadan dan merugikan pertanding­an Liga M.

Malah, beliau turut meminta MFL mengkaji semula keputusan meneruskan pertanding­an sepanjang Ramadan bagi membolehka­n komuniti bola sepak beragama Islam, sama ada pemain mahupun penyokong memberi tumpuan kepada amal ibadat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia