Harian Metro

Tunggu laporan kimia pil pelakon

-

Polis menunggu laporan penuh analisis kimia berhubung pil ditemui dalam beg tangan pelakon milik Uqasha Senrose pada 6 Mei lalu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menghantar pil berkenaan ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menunggu laporan bagi mengesahka­n sama ada ia pil Erimin 5 atau sebaliknya.

Beliau berkata, laporan Jabatan Patologi itu melengkapk­an kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwara­ya untuk tindakan seterusnya.

“Kami belum terima laporan kimia lagi. Polis menunggu laporan yang dihantar ke hospital (Jabatan Patologi) untuk menentukan sama ada ia positif atau negatif.

“Tetapi kami juga menunggu laporan patologi dari HKL, dapat keputusan akhir itu baru kami ambil tindakan (mengikut) Akta Dadah Berbahaya 1959,” katanya sejurus Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6 Mei lalu, pelakon wanita popular itu ditahan di Taman Tun Dr Ismail di sini, selepas terbabit kemalangan.

Siasatan polis menemui enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Erimin 5 di dalam beg tangan miliknya.

Dadah itu ditemui selepas pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Artis itu ketika dihubungi wartawan baru-baru ini dilaporkan berkata, dia disabotaj dan mengakui tidak mengambil dadah.

Namun, dia yang dibebaskan dengan jaminan polis enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan dalam masa sama, turut menafikan dia ‘lalok’ atau berada dalam keadaan khayal ketika dibawa ke balai polis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia