Harian Metro

Gelama 30kg sangkut pukat

-

Kuala Nerus: “Ini kali pertama melihat ikan gelama sebesar ini dan ia paling besar pernah saya peroleh sepanjang memukat di Pantai Seberang Takir,” kata Jasmin Ngah, 50, dari Kampung Teluk Ketapang, di sini.

Jasmin berkata, dia menjadi nelayan sejak berusia belasan tahun namun tidak pernah melihat ikan gelama yang sinonim dipanggil ibu gelama sebesar itu.

“Saya tidak menyangka ikan gelama sebesar itu mengena pukat, maklumlah sasaran saya hanya ikan gelama bersaiz kecil dan sederhana.

“Memang terasa berat bebanan saat menarik pukat itu sebelum terkejut apabila melihat kelibat seekor ikan berwarna putih seakan-akan siakap putih.

“Saya menyangka ia ikan siakap namun terkejut apabila mendapati ikan yang sangat agresif itu ialah ikan gelama seberat 30 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, dia menjadikan kegiatan menangkap ikan sebagai sumber pendapatan sampingan keluargany­a, selain berniaga ikan segar di Kampung Teluk Ketapang.

“Seronok memukat ikan kerana hasil yang diperoleh sangat lumayan, namun perlu mempunyai pengalaman luas untuk memastikan tangkapan diperoleh memuaskan.

“Setiap ikan mempunyai musim tertentu yang perlu diketahui nelayan kerana pukat yang digunakan juga berbeza.

“Jika air terlalu jernih tangkapan sukar diperoleh. Justeru, nelayan perlu peka dengan keadaan air semasa sebelum turun ke pantai untuk menahan pukat,” katanya.

Saya tidak menyangka ikan gelama sebesar itu mengena pukat, maklumlah sasaran saya hanya ikan gelama bersaiz kecil dan sederhana”

Jasmin

 ??  ?? JASMIN memegang ikan gelama seberat 30kg yang diperoleh.
JASMIN memegang ikan gelama seberat 30kg yang diperoleh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia