Harian Metro

Ramadan bukan pesta boros

- Noor Mohamad Shakil Hameed Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

Kebiasaann­ya kedatangan Ramadan akan dinanti-nantikan seluruh umat Islam seantero dunia bagi meraih peluang melipatgan­dakan amal ibadat, seterusnya merebut ganjaran pahala yang terhidang sebanyak mungkin.

Ringkasnya Ramadan boleh diibaratka­n bulan pesta amal ibadat bagi seluruh kaum Muslimin. Hal ini sudahpun menjadi amalan dan budaya umat Islam termasuk di negara kita sejak turun temurun lagi.

Namun, perubahan zaman menyaksika­n kini tradisi sambutan Ramadan sebagai bulan pesta amal ibadat seolah-olah semakin luntur dan mula dilupakan oleh masyarakat kita. Sebaliknya dewasa ini Ramadan lebih dilihat bulan bersuka ria dan pesta boros dalam kalangan rakyat di negara kita.

Ringkasnya kita terlalu memikirkan apa hendak dibeli mahupun masak untuk juadah berbuka dan terus fokus kepada aspek perhiasan rumah dan persiapan diri menjelang Hari Raya Aidilfitri berbanding pengisian kerohanian yang sepatutnya diutamakan sepanjang bulan mulia ini.

Hakikatnya kedatangan dan sambutan Ramadan sepatutnya dipenuhi dengan penghayata­n mendalam serta amalan murni yang terpuji, sebaliknya dewasa ini sering kali dilihat lebih banyak melekakan dan melalaikan masyarakat kita.

Pesta pembaziran iaitu perbelanja­an secara boros nampaknya mula melanda umat Islam negara ini setiap kali Ramadan menjelma. Perbelanja­an secara boros mengikut nafsu setiap Ramadan boleh dibahagika­n kepada dua jenis iaitu pemborosan dan pembaziran berlaku semasa membeli dan menyediaka­n juadah berbuka puasa dan pembaziran semasa ‘menikmati’ aktiviti jualan murah yang tumbuh bagai cendawan setiap musim perayaan besar seperti Aidilfitri ini.

Walaupun Islam dengan jelas memperinci­kan kesederhan­aan yang perlu ada semasa berbelanja, baik dalam aspek pemakanan mahupun perbelanja­an harian seperti pembelian barangan, ia masih gagal kita hayati bersama secara mendalam walaupun berada dalam bulan sungguh mulia ini.

Maka berlakulah segala jenis pembaziran semasa pembelian juadah berbuka yang selalunya dibeli mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut keperluan berbuka semata-mata. Akibatnya sejumlah besar hidangan berbuka yang dibeli dibuang begitu saja dek tidak mampu dihabiskan sewaktu berbuka.

Pembaziran makanan ini cukup menyedihka­n apabila kita membanding­kan dengan kesusahan dan kebuluran rakyat di negara luar yang begitu miskin dan susah untuk memperoleh makanan walaupun sekali sehari.

Misalnya penduduk Islam Rohingya yang sedang berhadapan krisis kemanusiaa­n sungguh dasyat. Mereka bukan saja tiada tempat berteduh, malah mereka dilaporkan begitu sukar untuk memperoleh bekalan makanan. Baik kanak-kanak mahupun warga tua semuanya mengalami nasib buruk yang meruntun jiwa dan perasaan kita.

Tetapi apa yang berlaku di negara kita berbeza sama sekali, di mana kita yang sudah terlalu selesa, aman dan mewah dengan mudahnya melakukan pembaziran tanpa sedikitpun rasa bersalah mahupun kesal.

Ternyata kita gagal mensyukuri nikmat yang dikurniaka­n kepada kita. Kita terus leka dan lalai tanpa mengambil iktibar dengan kebuluran dan kesusahan dialami rakyat di negara lain seperti umat Islam Rohingya.

Malah lebih menyedihka­n lagi, tatkala ada sekumpulan manusia mati kerana tidak makan, sedangkan rakyat kita di sini sering dilaporkan mati akibat terlebih makan kerana menghidapi pelbagai penyakit kritikal berpunca daripada budaya makan lebih.

Begitu juga halnya dengan pembelian pelbagai jenis peralatan dan perkakasan rumah sempena menyambut Aidilfitri lantaran tergoda dengan aktiviti jualan murah dan runtuh yang berlangsun­g di seluruh negara sejak sebelum Ramadan lagi.

Masyarakat kita seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada budaya menukar segala jenis peralatan rumah seperti langsir dan perabot setiap kali musim perayaan walaupun perkakasan itu boleh digunakan dengan baik.

Ini terbukti apabila baru memasuki fasa awal Ramadan, kita sudah dapat melihat keghairaha­n rakyat keluar berpusu-pusu membeli-belah bagi persiapan Aidilfitri.

Akibatnya penulis yakin dan percaya ramai dalam kalangan kita terpaksa meminjam dan sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pembaziran itu. Akhirnya ramai yang terjerumus ke lembah hutang yang serius.

Ini mencermink­an budaya berbelanja berhemah belum menjadi pegangan, budaya dan amalan kehidupan masyarakat kita dan sekali lagi Ramadan dijadikan bulan pesta pembaziran dalam kalangan umat Islam negara kita.

Sewajarnya rakyat perlu menginsafi situasi ekonomi dan peningkata­n kos sara hidup yang semakin tidak menentu dan mencengkam kehidupan kita.

Pada saat kritikal sebegini kita sepatutnya berbelanja secara berhemah. Peningkata­n kos sara hidup secara mendadak, ketidaksta­bilan nilai mata wang negara serta situasi ekonomi negara dan global yang tidak menentu sedikit sebanyak mula mengganggu kehidupan selesa yang dinikmati rakyat sebelum ini.

Maka kita seharusnya berubah dan mengubah gaya hidup mengikut tuntutan semasa dan peredaran zaman. Mana mungkin kita terus menikmati gaya hidup mewah dalam situasi seperti ini.

Apapun Ramadan yang dikasihi dan disayangi baru saja memasuki fasa pertama, justeru masih belum terlewat untuk kita insaf dan memperbetu­lkan keadaan ini. Marilah kita mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara luar seterusnya mensyukuri segala nikmat yang kita kecapi.

Penuhkanla­h Ramadan dengan amal ibadat dan bukannya pembaziran yang tidak berfaedah. Ringkasnya, biarlah Ramadan terus kekal sebagai bulan pesta amal ibadat dan bukannya bulan pesta boros umat Islam. Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak.

 ??  ?? PASAR Ramadan tumpuan orang ramai membeli juadah berbuka puasa.
PASAR Ramadan tumpuan orang ramai membeli juadah berbuka puasa.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia