Harian Metro

Penyamun sarang burung

- Noor Hidayah Tanzizi am@hmetro.com.my

 Suami isteri ditahan aktif curi ‘rumah’ walet

Suami isteri yang juga ahli kumpulan Ah Lam ditahan polis dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri sarang burung walet di sekitar daerah ini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 40 tahun dan isterinya warga Hong Kong berusia 31 tahun itu ditahan di Ayer Tawar dekat sini, kira-kira jam 8.15 pagi hasil risikan polis dan maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, berikutan tangkapan itu polis menemui satu bungkusan plastik berisi sarang burung, pelbagai senjata seperti selaras senapang angin, besi buku lima dan sebilah parang selain satu tong gas karbon dioksida.

“Selain itu polis turut menemui pelbagai jenis dadah dipercayai Methamphet­amine seberat 15.71 gram, ketamin (5.32 gram), pil yaba (1.32 gram) dan pil erimin 5 (16.63 gram) yang semuanya dianggarka­n bernilai RM5,000.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai sudah lama terbabit dalam kegiatan mencuri sarang burung dan dadah yang ditemui itu disyaki bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung di sini, semalam.

Muhammad Hanif berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah membabitka­n kes Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama manakala wanita warga asing tiada sebarang rekod.

Katanya, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, letupan dan senjata berbahaya 1958 serta masih menyiasat sama ada terdapat anggota lain kumpulan Ah Lam itu.

Beliau berkata, polis turut menahan dua individu dalam tangkapan berasingan membabitka­n kes sama di sekitar Sitiawan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia