Harian Metro

Suspek macam hilang akal

-

Serdang: “Tindak-tanduknya macam orang hilang akal, sebaik dia keluar (rumah) matanya meliar, gayanya seperti ingin menikam kami semua,” kata Muhammad Harith Mohd Salleh, 18, mangsa tikaman seorang lelaki di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, Sepang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Harith bersama bapa, Mohd Ayub Mohd Salleh, 48, dan tiga lagi rakannya diserang dan ditikam dengan pisau oleh jiran mereka dipercayai berang dengan tindakan berkumpul dan bersembang di depan rumah.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama tiga lagi rakan masing-masing dua berusia 18 dan seorang lagi berusia 14 tahun bersembang di depan rumahnya sementara bapanya berada di dalam rumah.

“Sebelum ini, kami sering menerima ugutan daripada jiran saya itu, dia sering mengugut mahu membunuh kami setiap kali berkumpul di depan rumah saya tidak kira siang atau malam.

“Perkara itu sudah berlarutan sejak setahun lalu sedangkan kami tidak pernah membuat bising yang keterlalua­n namun dia sering menunjukka­n perasaan tidak puas hati.

“Malam tadi (semalam), awalnya dia menegur, menyuruh kawan saya balik tetapi kami tidak hiraukan kerana kami tidak buat apa-apa hanya duduk bersama melayan peranti masing-masing.

“Lima minit kemudian dia keluar dengan dua bilah pisau dan terus menikam kawan saya, kami semua panik dan dia terus menyerang kami semua, ayah saya turut ditikam sebaik saja dia keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini, semalam.

Harith yang bekerja sebagai pemandu buggy di sebuah lapangan golf di Bangi berkata, dia ditikam di tangan dan belakang badan.

“Setakat ini bapa saya masih tidak sedarkan diri, saya rasa dia yang paling teruk diserang dan ditikam,” katanya.

Ibu Harith, Asrah Parnaji, 51, berkata jirannya itu sering berkelakua­n pelik.

“Dia jarang bertegur sapa dan bercampur gaul dengan masyarakat di sini, malah kebanyakan daripada penduduk sini tidak mengenalin­ya.

“Ketika kejadian, saya baru pulang dari kerja, saya lihat Harith dan suami berlumuran darah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia