Harian Metro

Abang pendiam sebelum ajal

-

Jelebu: “Abang jadi pendiam ketika pulang bercuti di Kampung Sungai Buloh Isnin lalu, biasanya dia banyak cakap dan periang,” kata ‘Izzul Islam Lokman, 23.

‘Izzul adik kepada Fakhruddin Lokman, 24, anggota polis bantuan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 26 Jalan Seremban-Simpang Pertang berhampira­n Kampung Renal, Ulu Klawang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu, mangsa yang memandu kereta Proton Waja dari arah Simpang Pertang menghala ke Seremban dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentang­an sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Menurut ‘Izzul Islam, ketika bersahur pagi semalam, dia dapati abangnya sekali lagi tidak banyak bercakap, namun tidak bertanya mengapa dia bersikap begitu.

Katanya, arwah abangnya sudah lima bulan bekerja sebagai polis bantuan di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) dan memang dikenali sebagai seorang yang peramah dalam kalangan ahli keluarga dan rakan.

“Paling terkilan, kami sudah berjanji untuk sama-sama membeli baju raya pada hari dia tidak bertugas minggu depan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jelebu semalam.

Rakannya, Muhammad Alif Ikhwan Abd Latif, 18, berkata, arwah menjadi pendiam ketika mereka berjumpa dan bermain futsal di Simpang Durian.

Katanya, perubahan sikap arwah menimbulka­n kehairanan kepada rakan, namun tidak bertanya lebih lanjut dengannya kerana bimbang dia tersinggun­g.

“Saya kehilangan rakan yang baik hati dan suka membantu bila diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superinten­dan Kamarul Rizal Jenal berkata, pemandu lori terbabit yang berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan dan pihaknya menjalanka­n siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ?? KEADAAN kenderaan milik Fakhruddin (gambar kecil) di tempat kejadian.
KEADAAN kenderaan milik Fakhruddin (gambar kecil) di tempat kejadian.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia