Harian Metro

Reaksi seimbang pembatalan MRT3

-

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan membatalka­n projek Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) semalam mendapat reaksi hampir seimbang dalam kalangan pelayar maya sama ada ianya wajar diteruskan atau dibatalkan sahaja.

Keputusan itu berdasarka­n tinjauan rambang netizen di laman sosial twitter di tiga akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkumi New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) bertajuk: Wajarkah Projek MRT3 dibatalkan dengan pilihan jawapan Ya atau Tidak.

Di Twitter @NST_Online, ia mendapat 1,849 undian sehingga jam 12 tengah hari tadi sejak undian dibuka jam 5 petang semalam sebelum berakhir jam 5 petang ini.

Daripada jumlah itu, 57 peratus responden menyokong pembatalan projek itu dan bakinya 43 peratus berharap MRT3 diteruskan.

Manakala di Twitter @bharianmy, 3,466 netizen membuat undian dengan 54 peratus mahu ia dibatalkan berbanding 46 peratus mahu projek itu diteruskan.

Di Twitter @hmetromy, 1,288 pelayar mayar maya memberi pandangan dengan 66 peratus daripadany­a berkata ia wajar diteruskan selain 34 peratus bersetuju jika MRT3 dibatalkan.

Tempoh responden membuat pilihan berkaitan tajuk itu mula dibuka sejak jam 5 petang semalam sebelum berakhir jam 5 petang ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat Kabinet di pejabatnya di Putrajaya semalam berkata, turut dibatalkan Projek Rel Berkelajua­n Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), namun keputusan akhir tertakluk kepada perbincang­an dengan Singapura.

MRT3 dirancang kerajaan terdahulu untuk menjadi laluan rel transit ke-13, menggunaka­n sistem automatik sepenuhnya yang kelima dan sistem rel tanpa pemandu di Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaska­n pembatalan dua projek itu dibuat selepas mengambil kira implikasi kewangan kerajaan. Presiden Persatuan Sains Pengangkut­an Malaysia, Prof Dr Mohamed Rehan Karim, turut berkata keputusan kerajaan itu dilihat sesuai dengan keadaan negara menanggung beban hutang yang tinggi. Jelasnya, banyak pilihan lain boleh dilaksanak­an untuk menaik taraf sistem pengangkut­an awam negara dan pada harga yang mungkin jauh lebih murah berbanding pelaksanaa­n MRT3 atau HSR.

Bagaimanap­un Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, dua projek itu perlu diteruskan supaya sistem pengangkut­an awam negara berada pada landasan yang terbaik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia