Harian Metro

Perangkap pinjaman tak wujud

- Syazwan Msar mohdsyazwa­n@hmetro.com.my

 Ejen pinjaman peribadi mangsakan golongan terdesak ingin dapat wang dengan kadar segera

Sudahlah pinjaman peribadi tidak lulus, terpaksa pula tanggung kerugian ribuan ringgit. Situasi berkenaan berlaku kepada beberapa individu yang terlalu percaya terhadap ejen atau orang tengah yang menyediaka­n pinjaman peribadi bank dijamin lulus sebelum bertindak melarikan diri.

Modus operandi yang dipercayai didalangi oleh kumpulan tertentu itu bergiat aktif memerangka­p orang ramai yang terdesak ingin mendapatka­n pinjaman peribadi melalui bank dengan kadar segera.

Kumpulan berkenaan mengenakan beberapa bayaran tidak masuk akal antaranya caj pra kelulusan pinjaman, pembayaran duti setem dan proses kelulusan dengan orang ramai perlu membayar antara RM500 sehingga RM2,000.

Namun, sebaik pembayaran terbabit dibuat oleh orang ramai, kumpulan terbabit akan menghilang­kan diri seterusnya gagal dihubungi sebelum mangsa menyedari ditipu.

Yang Dipertua Persatuan Keselamata­n Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi berkata, ratusan mangsa diperdaya oleh kumpulan berkenaan dengan kerugian dianggarka­n setakat ini mencecah RM100,000.

Beliau berkata, kumpulan itu mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang tidak berfikir panjang sebelum bersetuju membuat pembayaran kepada mereka bagi mendapatka­n pinjaman peribadi kononnya dijamin lulus oleh pihak bank walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan.

“Tawaran daripada kumpulan berkenaan boleh dilihat di laman sosial seperti Facebook apabila mereka mengiklank­an dokumen palsu serta testimoni daripada pelanggan kononnya sudah berjaya membuat pinjaman peribadi.

“Orang ramai yang mudah teperdaya diminta mengisi borang secara atas talian sebelum terdapat individu lain yang menghubung­i mangsa bagi mendapatka­n butiran peribadi dan memberitah­u akan ‘kawtim’ dengan pihak bank bagi meluluskan permohonan.

“Sebelum mereka berbuat demikian, mangsa dikehendak­i membuat pembayaran tertentu kepada kumpulan itu dengan pelbagai alasan dan jumlah yang diminta boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Menurutnya, modus operandi kumpulan berkenaan begitu terancang dan profesiona­l sehingga mampu meyakinkan peminjam supaya membuat pembayaran bagi meluluskan pinjaman peribadi.

“Peminjam akan menyedari dia ditipu apabila wakil kumpulan terbabit gagal dihubungi selepas menunggu lebih sebulan dan kebanyakan mereka tidak mahu membuat laporan polis kerana malu.

“Kebanyakan nombor telefon bimbit pula didaftarka­n atas nama warga asing atau melalui pendaftara­n palsu sekali gus menyukarka­n pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati jika menggunaka­n ejen atau orang tengah untuk membuat pinjaman peribadi bagi mengelak tertipu oleh kumpulan berkenaan.

“Pada masa sama, kami juga ada mencadangk­an kepada pihak tertentu supaya menggunaka­n sistem biometrik di semua mesin pengeluara­n wang automatik bagi mengesahka­n pemegang akaun bank sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

 ??  ?? IKLAN tawar pinjaman dengan kadar segera mampu perdaya golongan terdesak jika tidak berhati-hati.
IKLAN tawar pinjaman dengan kadar segera mampu perdaya golongan terdesak jika tidak berhati-hati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia