Harian Metro

Tembok, pagar sempadan usang

- BERNAMA cnews@nstp.com.my

 Kini jadi laluan utama pendatang masuk Malaysia

Tembok dan pagar sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 29 km dari Padang Besar di Perlis ke Bukit Kayu Hitam di Kedah didapati sudah usang dan tidak lagi kukuh untuk tujuan keselamata­n.

Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata berikutan itu, pagar itu kini menjadi laluan utama penceroboh terutama pendatang asing tanpa izin dan golongan ekstrem untuk memasuki Malaysia.

“Perkara ini memang disedari oleh pegawai Majlis Keselamata­n Negara (MKN) yang membuat tinjauan. MKN juga sedar implikasi terhadap keselamata­n negara.

“Bagi polis, kami mengemukak­an cadangan dan saranan termasuk penggunaan teknologi canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan dron di kawasan panas untuk memberi kawalan maksimum,” katanya.

Bagaimanap­un belum ada keputusan dibuat, katanya, selepas meninjau pagar sempadan itu.

Keseluruha­n sempadan dari Bukit Putih di Kuala Perlis ke Bukit Kayu Hitam adalah 105 km panjang. Sebahagian pagar dibina dengan kawat berduri dan sebahagian tembok konkrit.

“Pagar yang daif 29 km panjang boleh mengundang bermacam perkara. Justeru, saya harap kerajaan memberi keutamaan untuk membina pagar baharu atau menggantik­an kawat berduri seberapa segera.

“Pada sama ini kami berikan kawalan terbaik untuk mengekang penceroboh­an,” katanya.

Beliau berkata, polis Malaysia dan Thailand sentiasa bekerjasam­a, selain bertukar maklumat dan pandangan dalam usaha membantera­s aktiviti jenayah rentas sempadan.

Mengenai penyeludup­an barang dagangan, beliau berkata, dari Januari hingga April lepas, Pasukan Gerak Am membuat 167 tangkapan di Kedah, Perlis dan Kelantan, manakala barang yang dirampas bernilai RM1.3 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia