Harian Metro

Orang kita ‘buang’ RM20j sehari

- Yusmizal Dolah Aling Mohd yusmizal@hmetro.com.my

 Purata rakyat Malaysia membazir RM2 seorang di bazar Ramadan

Purata pembaziran RM2 setiap orang di bazar Ramadan menjadikan jumlah keseluruha­n ‘duit terbuang’ bernilai lebih RM20 juta sehari.

Dapatan itu dikeluarka­n Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia (PPS1M) berdasarka­n trend perbelanja­an pengguna di bazar terbabit sepanjang Ramadan.

Penasihatn­ya Yusuf Azmi berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati orang ramai membeli juadah melebihi daripada keperluan menyebabka­n berlaku pembaziran.

Katanya, dorongan untuk membeli lebih juadah sentiasa membuak-buak dalam kalangan pengguna terutama di bazar Ramadan.

“Kita turun dan lihat perkembang­an untuk tempoh dua minggu ini, ada yang tinggal berdua, tetapi membeli makanan untuk kapasiti lapan orang.

“Bila ditanya, ramai yang kata mampu habiskan, tetapi mereka sendiri mengakui cukup berbuka mengikut sunah dan ia sudah mengenyang­kan. Itulah kelebihan ajaran agama mengenai keberkatan dalam berpuasa,” katanya.

Yusuf berkata, senario sama berlaku kepada mereka yang membayar harga berlebihan untuk berbuka di bufet Ramadan sehingga berbelanja lebih 10 peratus dari sepatutnya.

“Dalam keadaan biasa, kita akan membelanja­kan antara RM5 hingga RM7 namun untuk bufet Ramadan sanggup membayar sehingga RM100 seorang.

“Ini juga perlu dikaji oleh kita kerana tiada keperluan untuk membazir duit ketika berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Saya ingin menyaranka­n kalau ada lebihan wang, kita boleh salurkan kepada mana-mana kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan untuk diinfaqkan kepada anak yatim dan golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, Yusuf berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an, baru-baru ini, untuk berbincang mengenai beberapa isu pengguna.

Katanya, satu sekretaria­t akan ditubuhkan untuk memantau isu kepengguna­an di negara ini dan ia akan membabitka­n mereka yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan pengguna dan agensi kerajaan.

“Alhamdulil­lah, perkara ini disambut baik kementeria­n dan kita akan mula susun penubuhann­ya secara berperingk­at. Yang penting rakyat tidak akan terbeban dengan kos sara hidup,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia