Harian Metro

Bukhari ambil sikap pantang maut sebelum ajal

-

Kuantan: Tiada siapa tahu aturan takdir buat pesakit kanser kelenjar tahap empat ini meskipun doktor menjangkak­an dia hanya mampu hidup setahun saja.

Bukhari Zulkifli, 26, tetap positif menjalani kehidupan kerana baginya hanya Allah SWT penentu hidup mati seseorang dan sebagai umat, dia reda.

Anak sulung daripada enam beradik itu sentiasa berpegang bahawa penyakit dihidapi sejak berusia 18 tahun adalah ujian yang memerlukan dia cekal untuk terus hidup.

“Ketika disahkan menghidap penyakit ini pada usia muda, tipulah kalau saya tidak berasa putus asa, namun sebagai anak sulung saya perlu menjadi kuat dan tidak mahu terus diselubung­i duka.

“Saya beruntung kerana ibu sentiasa beri semangat, lebih-lebih lagi ketika menjalani kimoterapi dan pembedahan tulang sumsum,” katanya yang tinggal di perumahan Kampung Pak Mahat di sini, semalam.

Bukhari berkata, penyakitny­a bermula apabila dia kerap batuk berlarutan hingga sebulan dan ketika itu menyangka ia hanya batuk biasa.

Lama-kelamaan batuknya mula mengeluark­an kahak berketul dan dia terus mendapatka­n rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sebelum disahkan menghidap kanser kelenjar tahap empat.

“Selepas itu saya sukar melakukan kerja berat dan mudah penat. Saya terpaksa berhenti kerja dan melakukan kerja kampung saja.

“Saya merancang untuk membuka bengkel membaiki motosikal, namun tidak mempunyai modal mencukupi setakat ini,” katanya.

Sementara itu, ibunya Maimunah Sulaiman, 48, berkata, dia sedih melihat keadaan anaknya yang menanggung penderitaa­n begitu.

“Saya sentiasa menasihati Bukhari supaya kuat melawan penyakitny­a dan berfikiran positif kerana kita kena percaya qada dan qadar Allah.

“Sebagai ibu saya tidak boleh terlalu menunjukka­n kesedihan di hadapannya kerana dia memerlukan sokongan. Hanya saya tempat dia mengadu dan bergantung,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia